PIBK Bantu Tingkatkan Perkembangan Pendidikan

Bertempat di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor di Johor Bahru telah berlangsung Seminar Pemuafakatan PIBG dan Anugerah PIBKS Negeri Johor Tahun 2019, hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik.

Melalui Anjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin menggerakkan para ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas dalam membantu pendidikan negara.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan organisasi yang signifikan dan penting dalam perkembangan sesebuah sekolah.

Malah peranan dan tanggungjawab PIBG memberi kesan kepada kemajuan dan pencapaian sekolah kerana PIBG menjadi medium dalam mencetus hala tuju dan matlamat sekolah ke arah kecemerlangan pelajar secara holistik.

Ketika menyampaikan ucapan, YB Dr. Maszlee berharap PIBK khususnya di Negeri Johor dapat membantu sekolah dalam meningkatkan kualiti pendidikan dalam Pembelajaran Abad Ke-21.

Dalam ucapan yang sama beliau turut memaklumkan majlis pada hari ini diadakan juga bagi memberikan pengiktirafan kepada warga PIBG dan sekolah atas sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam melaksanakan tugas-tugas di samping penglibatan mereka secara aktif dalam mencurahkan sumbangan bakti yang bermanfaat kepada dunia pendidikan.

"Penganugerahan seperti ini merupakan satu menifestasi keprihatinan kerajaan terhadap modal insan berkualiti, dinamik dan berprestasi tinggi yang unggul mencapai ekspektasi yang telah disasarkan," kata beliau.

"Ucapan syabas dan tahniah saya rakamkan kepada 22 sekolah rendah dan 22 sekolah menengah penerima Anugerah Amalan Terbaik PIBKS dari seluruh daerah dalam Negeri Johor," tambah Dr. Maszlee.

Pada akhir ucapan, YB Dr. Maszlee turut berharap pengiktirafan yang disampaikan akan menjadi motivasi berterusan ke arah kerjasama mampan antara PIBG dengan pihak sekolah.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, YBrs Tuan Azman Adnan.

 
 
(UKK 16 Jun 2019)
  • Hits: 7123

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 29 September 2023, 15:09.