Pelangi Sumbang Buku Bernilai Lebih RM40,000 Kepada 40 Sekolah Orang Asli
Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching malam tadi menghadiri sambutan ulang tahun ke-40 Pelangi Publishing Group Bhd yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya (PICC).
Dalam ucapannya, beliau berkata Pelangi bukan sahaja menyokong inisiatif UNESCO World Capital Book 2020, malah mengambil inisiatif dalam menjayakan program Dekad Membaca Kebangsaan yang sedang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Di samping itu, Pelangi telah menaja dan mendermakan ribuan buku ke pelbagai perpustakaan sekolah, perpustakaan komuniti dan organisasi amal setiap tahun.
"Justeru, sempena ulang tahun Pelangi yang ke-40, mereka telah menyumbangkan buku bernilai lebih RM40,000 kepada 40 sekolah Orang Asli. Hal ini selaras dengan agenda dan usaha kerajaan dalam meningkatkan pendidikan dalam kalangan Orang Asli," tambah beliau.
Prinsip KPM sangat jelas dalam memastikan pendidikan kanak-kanak tanpa mengira siapa dan di mana mereka datang. Melalui pembacaan, anak-anak akan mendapat ilmu pengatahuan di samping mengelakkan mereka daripada terjebak dengan masalah sosial dan jenayah.
Ini juga selaras dengan Program Sifar Murid Cicir oleh KPM di mana tiada anak-anak akan disisihkan, khususnya dari sudut pendidikan.
Turut hadir, YBhg. Datuk Sum Kown Cheek, Pengarah Urusan Pelangi Publishing Group Bhd dan YBrs. Faridah Yang Razali, Timbalan Pengarah (Murid) Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM.
- Hits: 4071