Pelancaran Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2019 dan Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Universiade 2019

Penganjuran Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-8 2019 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos 2019 di sekitar Lembah Klang dilancarkan secara rasminya hari ini oleh YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan di UNITEN.

Majlis pelancaran pada pagi ini turut disekalikan dengan Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Kejohanan Sukan Universiti Dunia 2019 yang bakal berlangsung dari 3 hingga 14 Julai 2019 di Napoli, Itali.

Dalam ucapannya beliau berkata, KPM amat komited dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu sukan negara malah akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada penganjuran kejohanan-kejohanan sukan yang membantu kepada pembangunan sukan di institusi pendidikan.

Tambah beliau, SIPMA dilihat telah memberi satu ruang yang sangat luas kepada atlet pelajar untuk mula terlibat secara aktif dengan sukan.

Selain itu, majlis hari ini turut dihadiri oleh kontinjen negara yang akan menyertai Kejohanan Sukan Universiti Dunia atau lebih dikenali sebagai Universiade 2019 yang akan berlangsung pada 3-14 Julai 2019 di Napoli, Itali. Penyertaan Malaysia ke kejohanan ini merupakan salah satu agenda penting dalam melahirkan atlet bertaraf antarabangsa khususnya yang berada di IPT.

Kejohanan yang melibatkan lebih daripada 150 negara dan 10,000 atlet IPT dari seluruh dunia ini merupakan pentas yang sangat kompetitif dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian dalam kalangan atlet.

YB Puan Teo berharap untuk melihat kejayaan kontinjen Malaysia tahun ini untuk memperoleh pencapaian yang cemerlang selaras dengan sasaran yang telah ditetapkan iaitu untuk memperoleh pingat tanpa mengira warna.

Turut hadir, YBhg. Datin Paduka Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPM; YBhg. Dato' Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Yusoff, Presiden MASISWA dan YBhg. Dato' Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, Naib Canselor UNITEN.

 
 
 
(UKK 27 Jun 2019)
  • Hits: 1827
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 17 Oktober 2019, 20:03.