Pelancaran Program Pemakanan Sihat Bersama Numee
YB Timbalan Menteri Pendidikan, Puan Teo Nie Ching hari ini melancarkan Program Pemakanan Sihat Bersama Numee yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Menerusi program ini, lebih 100 buah kantin sekolah telah dibekalkan dengan dokumentasi kaedah penyediaan makanan seimbang dan resepi-resepi yang sesuai untuk murid-murid sekolah oleh pihak Numee.
“Program ini telah dijalankan di beberapa buah sekolah termasuklah SK Rhu Rendang, Marang, Terengganu, Sekolah Menengah (SM) Sains Muar, Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, dan SK Bukit Jelutong, Shah Alam.
“Penganjuran program ini juga selaras dengan Program Kesihatan di sekolah yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani isu-isu berkaitan tiga aspek utama iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan yang turut merangkumi kualiti makanan yang dihidang kepada murid-murid,” katanya ketika melancarkan program itu.
Dalam perkembangan berkaitan, YB Teo berkata YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mac lalu telah mengumumkan hasil cukai gula akan digunakan untuk menjalankan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada semua kanak-kanak sekolah rendah.
Turut hadir, Pengerusi Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Mohammad Zainal Shaari; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBhg. Dato’ Dr. Chong Chee Kheong, dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (Murid), YBrs. Puan Faridah Yang Razali.
- Hits: 4370