MTUN Tawar Program Sarjana Muda Teknologi

Bertempat di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kampus Gambang telah berlangsung Majlis Pelancaran Program Sarjana Muda Teknologi MTUN dan Perasmian Siri Bicara Cendekiawan Mulia. Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik.

YB Dr. Maszlee dalam ucapan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan sahaja telah memastikan program di Kolej Vokasional telah memenuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, malah semua Politeknik dan Kolej Komuniti serta penyedia TVET lain telah sedia untuk dihubungkan secara strategik dalam satu ekosistem dengan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang dianggotai UMP, UTHM, UTeM dan UniMAP.

Beliau lturut memaklumkan kerajaan kini bersungguh-sungguh dalam memartabatkan TVET. Justeru beliau memberitahu KPM melalui UMP, UTHM, UTeM dan UniMAP menawarkan Program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology – B.Tech.)

"Untuk pengetahuan semua, program B.Tech. ini sedia untuk ditawarkan kepada calon-calon yang layak mulai sesi pengambilan September 2019," tambah beliau.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi YBhg Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

 
 
(UKK 25 Jun 2019)
  • Hits: 5241

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 11 Disember 2023, 15:38.