Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Kali Ke-20 Tahun 2019
Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Kali Ke-20 Tahun 2019 di Putrajaya. Mesyuarat berkenaan merupakan program tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah diadakan bermula tahun 1999.
Mesyuarat MPPK merupakan medium terbaik pemimpin mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam menyuarakan idea dan pandangan mahasiswa kepada kepimpinan tertinggi kerajaan dalam usaha membantu negara membangun dengan lebih relevan selari dengan keperluan semasa khususnya untuk generasi akan datang.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri Pendidikan YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Kewangan YB Tuan Lim Guang Eng, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Puan Hannah Yeoh serta pengurusan tertinggi Kementerian, Jabatan dan agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Wilayah Persekutuan.
- Hits: 4334