Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2020
Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2020 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching pagi ini.
Dalam ucapannya, YB Puan Teo berharap Program Jom Ke Sekolah ini akan mempertingkatkan kerjasama yang lebih akrab antara pihak sekolah dengan Pegawai Perhubungan Sekolah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Program ini juga diharapkan dapat menghindar murid daripada ponteng sekolah, membantu mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah," tambah beliau.
KPM sentiasa membuka pintu kerjasama dengan semua pihak, sama ada badan kerajaan atau swasta bagi memastikan aspirasi pendidikan negara disokong oleh semua pihak. Sebagai contoh, KPM telah melaksanakan Konvensyen Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) peringkat kebangsaan pada tahun lalu. Program seperti ini akan sentiasa dilaksanakan demi kepentingan anak-anak kita.
Sekolah, tidak kira di peringkat rendah atau menengah bukan sahaja memainkan peranan dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak tetapi secara tidak langsung mampu memupuk semangat perpaduan. Sekolah merupakan tempat yang paling sesuai bagi memupuk perpaduan memandangkan murid terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.
YB Timbalan Menteri Pendidikan juga melancarkan Buku Panduan PPS sebagai buku rujukan bermula tahun ini.
Hadir sama ialah YDH IG Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador, Ketua Polis Negara dan YBhg Dato' Mohd Jamil bin Mohamed, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM.
- Hits: 9804