Majlis Perasmian Program Jom Masuk IPT 2020
‘Jom Masuk IPT’ yang diadakan di Persada Johor International Convention Centre dianjurkan khusus sebagai pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai maklumat untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi. Ianya mensasarkan pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru, komuniti setempat merebut peluang menyambung pengajian tinggi di pelbagai institusi pendidikan tinggi.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching, orang ramai diharap tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke program ini memandangkan ia adalah saluran utama bagi menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi dalam negara.
Katanya, karnival ini turut menyediakan maklumat kepada calon-calon pelajar mengenai kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara bagi sesi kemasukan 2020, maklumat penawaran program akademik yang ditawarkan oleh 20 Universiti Awam (UA), 44 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), dan Institusi lain.
“Pelajar juga boleh berjumpa terus dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej semasa pameran untuk mendapatkan maklumat melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan yang sedia ada, dasar dan prosedur permohonan kemasukan melalui aplikasi dalam talian, dan syarat-syarat kelayakan yang diperlukan,” katanya
Turut hadir di Majlis Pelancaran hari ini ialah Ybhg Dato’ Prof. Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik & Pembangunan), Ybhg. Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal bin Mohd Amin, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan & Antarabangsa) dan Ybrs Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Jom Masuk IPT 2020 bermula di Johor 15-16 Februari 2020 seterusnya ke Kompleks Sukan Universiti UMP 22-23 Februari, Taman Tasik Darulman, Jitra 29 Feb - 1 Mac, Sabah International Convention Centre 7-8 Mac, Amanjaya Convention Center, Ipoh 14-15 Mac, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, 14-15 Mac, Borneo Convention Centre 21-22 Mac dan MAEPS, Serdang 28-29 Mac 2020.
- Hits: 7785