Majlis Penutup Simposium Antarabangsa Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Kali Ke-8
YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia hari ini telah merasmikan Majlis Penutup Simposium Antarabangsa Sekolah-sekolah Berasrama Penuh Kali Kelapan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor.
Bertemakan Smart Industry: Reforming The World, simposium yang berlangsung selama lima hari ini turut menerima penyertaan pelajar- pelajar antarabangsa seperti negara Vietnam, Filipina, Jepun, Indonesia dan Thailand.
YB Puan Teo ketika ditemui berkata, "simposium ini merupakan platform terbaik bagi pelajar untuk bertukar-tukar idea dan buah fikiran serta berkongsi pengalaman bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga membangunkan potensi diri secara holistik".
Beliau turut berbangga dengan prestasi keseluruhan pelajar Malaysia kerana selain dapat meningkatkan keyakinan diri mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, secara tidak langsung mereka turut menjadi duta kecil bagi mempromosikan negara Malaysia kepada pelajar-pelajar antarabangsa.
Ly Huang Ang dari Hanoi High School, Vietnam dan John Felix Bilen daripada Pag-asa National High School, Filipina telah dipilih sebagai pelajar wanita dan lelaki terbaik luar negara sempena simposium kali ini manakala Muhammad Eriq Ishaf Mohd Saiful Nizam dari Sekolah Menengah Sains Dungun dan Nur Aisya Najihah dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak telah dipilih sebagai pelajar lelaki dan wanita terbaik Malaysia.
Majlis turut dihadiri oleh YBrs Tuan Aidie Jantan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia; YBrs Puan Nor Hayati Yusoff, Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak dan kira-kira 300 orang peserta simposium.
- Hits: 3989