Majlis Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019: YB Dr Maszlee Gariskan Tiga Hala Tuju

MAJLIS AMANAT YB MENTERI PENDIDIKAN TAHUN 2019: YB DR MASZLEE GARISKAN TIGA HALA TUJU
 
Hampir 5,000 orang terdiri daripada warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), agensi-agensi di bawah Kementerian, pemimpin industri, pertubuhan bukan kerajaan dan Exco dan Menteri Pendidikan Kerajaan Negeri hadir pada Majlis Amanat YB Menteri Pendidikan Tahun 2019, yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang hari ini.
 
Bertemakan Pendidikan Untuk Semua, YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan membentangkan hala tuju KPM. Beberapa pengumuman penting turut disampaikan oleh beliau. Ini termasuklah yang berkaitan dengan lima inisiatif mengurangkan beban guru.
 
Majlis ini diadakan buat julung kali di bawah pentadbiran Kerajaan baharu dan susulan penggabungan dua Kementerian yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
 
Dalam amanatnya, YB Dr Maszlee menyeru semua pihak dari pelbagai bidang dan kemahiran untuk turut bersama-sama membantu menjayakan amanah ini.
 
“Saya juga mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bersama-sama kita dalam agenda pembinaan bangsa melalui pendidikan ini,”" kata beliau lagi.
 
Beliau turut menggariskan tiga hala tuju bagi mencapai hasrat menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan dan mengembalikan wibawa Universiti Awam dan pengajian tinggi.
 
Tiga hala tuju tersebut ialah pendidikan berteraskan nilai, peningkatan kualiti seluruh sistem serta autonomi dan akauntabiliti untuk sekolah dan universiti.
 
Bersempena dengan Kempen Dekad Membaca yang sedang berlangsung, KPM turut mengambil inisiatif mengadakan ruang pameran dan jualan buku di ruang legar Dewan Besar, UPM. Antara pempamer yang mengambil bahagian ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Buku Negara (ITBN) dan penerbitan UPM.
 
Tambah menarik, bagi meningkatkan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, Kempen Jom Kongsi Buku turut diadakan di mana para hadirin bertukar-tukar buku kegemaran masing-masing di sudut khas di ruang legar.
 
YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia; YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Gazali Abas, Ketua Setiausaha KPM; YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia; YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan YBhg. Prof. Dato' Ts. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) merupakan antara tetamu kenamaan yang hadir. Pengerusi-pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam, Naib Canselor-Naib Canselor IPTA dan IPTS turut hadir.
 
 
  • Hits: 6690

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 22 September 2023, 15:47.