Lawatan YAB Perdana Menteri Ke SMK Datok Lokman, Kuala Lumpur
Petikan daripada FB YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin,
"Pagi tadi saya singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan mulai hari ini.
Sebelum ini, semua sekolah ditutup apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas.
Pada 10 Jun lalu, kerajaan membuat keputusan membuka semula sekolah secara berperingkat bermula hari ini, dengan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Sejurus tiba, saya melalui proses saringan suhu badan di pintu masuk sekolah sebelum diiring oleh Guru Besar, Puan Latifah Mohd Yusof melewati laluan khas bertanda memasuki kawasan sekolah, seterusnya ke dewan utama bagi sesi taklimat.
Pada taklimat itu, saya dimaklumkan bahawa sesi pembelajaran di sekolah ini hanya melibatkan pelajar tingkatan lima seramai 255 orang yang dibahagikan kepada sembilan kelas.
Saya kemudiannya meninjau aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Daripada pemerhatian saya, semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan kelas tidak boleh melebihi 20 orang dipatuhi.
Setelah tiga bulan tidak bersekolah, pastinya perasaan bercampur-baur dirasai pelajar apabila dapat kembali semula ke sekolah dan perkara itu diluahkan kepada saya semasa berbual dengan sebahagian daripada mereka tadi.
Ada antara mereka mengakui berasa gementar atau bimbang dengan keselamatan diri berikutan ancaman pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Mereka bagaimanapun tetap teruja dapat kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi pembelajaran hanya berlangsung secara dalam talian.
Saya amat berterima kasih kepada para guru, pejabat pendidikan negeri dan daerah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah melakukan persediaan rapi bagi memastikan garis panduan serta penyediaan SOP dapat dipenuhi sebelum sesi persekolahan bermula.
Langkah ini akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak sentiasa diberi keutamaan sepanjang mereka berada di sekolah.
Bagi SMK Datok Lokman, saya dapat saksikan kesungguhan pengurusan sekolah memenuhi SOP ditetapkan bermula daripada ketibaan pelajar sehingga mereka pulang.
Saya saksikan sendiri saringan suhu dibuat di pintu masuk sekolah, sebelum ditulis di atas pelekat yang kemudiannya dilekatkan di lengan baju pelajar. Stesen cuci tangan pula diletakkan di luar bilik darjah bagi memastikan pelajar kerap mencuci tangan.
Saya dimaklumkan waktu rehat juga dipecahkan kepada tiga fasa dengan tempahan makanan dibuat melalui guru kelas. Makanan yang ditempah dari kantin atau dibawa sendiri hanya dibenarkan dimakan di dalam kelas.
Insya-Allah, dengan persediaan rapi dan pelaksanaan serta pematuhan SOP yang betul oleh semua pihak, saya yakin risiko jangkitan wabak dalam kalangan pelajar dapat dielakkan.
Saya turut berpesan agar mereka sentiasa berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, jaga jarak sosial serta elakkan berada di tempat yang sesak dan sempit.
Saya doakan anak-anak kita yang kembali bersekolah dilindungi Allah dan dipermudahkan urusan dalam mengharungi kebiasaan baharu persekolahan."
(24 Jun 2020)
- Hits: 4651