Lawatan Menteri Pendidikan Ke Pusat Asasi UIAM Gambang
Bersempena lawatan kerja Menteri Pendidikan ke Gambang, Pahang semalam, YB Dr. Maszlee Malik turut meluangkan masa mengadakan lawatan ke Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gambang.
Turut hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Dekan Pusat Asasi Universiti Islam Malaysia (UIAM) kampus Gambang, YBrs Murshid Kassim.
Ketika menyampaikan ucapan ringkas, YB Dr. Maszlee turut menasihati pelajar baharu agar belajar dengan bersungguh-sungguh dan menjadi yang terbaik kerana UIAM adalah antara Universiti Awam (UA) yang terbaik di Malaysia.
Beliau turut berharap warga pendidik meneruskan usaha mereka mendidik para pelajar agar mereka mencapai potensi masing-masing disamping mewujudkan dunia ini dengan nilai murni lebih baik, penyayang dan saling menghormati antara satu sama lain.
Pusat Asasi UIAM Gambang yang dibangunkan menggunakan kaedah Private Finance Initiative (PFI) ini adalah melibatkan kawasan seluas 150 ekar meliputi pembinaan blok akademik, blok makmal, blok pusat kemudahan pelajar (Central Facilities), blok asrama, kafeteria, kemudahan sukan dan rekreasi serta kerja-kerja infrastruktur yang berkaitan bertujuan untuk memberi kemudahan dan keselesaan pengajaran, pembelajaran dan kemudahan asrama kepada 4,200 orang pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke UIAM.
Pembinaan Pusat Asasi UIAM ini yang sepatutnya siap pada 15 Januari 2016 telah tertangguh selama tiga tahun ekoran beberapa masalah dan isu kerana syarikat konsesi dikehendaki untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan terhadap kecacatan akibat kerja-kerja yang tidak memenuhi skop serta piawai standard yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan sokongan daripada pelbagai agensi Kerajaan iaitu Unit Kerjasama Awam Swasta Kementerian Kewangan (UKAS), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri telah membolehkan hasrat YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan agar Pusat Asasi ini dapat beroperasi secepat mungkin iaitu pada tahun ini telah dapat direalisasikan.
Projek ini merupakan satu kejayaan Kementerian Pendidikan Malaysia, khususnya di bawah kepimpinan YB Dr. Maszlee Malik untuk memastikan kemudahan pendidikan ini dapat dinikmati oleh rakyat iaitu pelajar-pelajar cemerlang, khususnya yang berada di dalam kategori B40.
Pusat Asasi UIAM Gambang ini menawarkan bidang pengajian iaitu Human Sciences, Dentistry, Nursing, Architectural & Environmental Design, Allied Health Sciences, Medicine, Pharmacy, Information & Communication Technology, Physical Sciences, Biology Science, English, Engineering, Law, Economics & Mangement Sciences, Islamic Revealed Knowledge, dan Arabic Language Studies.
- Hits: 4065