KSU Pantau Kerja Baiki Sekolah Daif Dan Penyediaan Elektrik Kepada Sekolah Pedalaman Di Sarawak
Sempena lawatan kerja ke tiga daerah di Sarawak, YBhg Dato' Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan lawatan pemantauan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Othman, Miri dan SK Bario, Bario dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bario semalam.
SK Sayed Othman, antara sekolah tertua di Miri, merupakan antara sekolah daif yang sedang diberi perhatian oleh KPM.
Dalam pada itu, SK Bario dan SMK Bario telah disenaraikan di bawah projek penyambungan ke talian elektrik awam dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri Sarawak. Kerja-kerja penyambungan elektrik ini termasuklah kerja-kerja pendawaian dalaman dan pendawaian luaran.
KPM di bawah kepimpinan YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan sentiasa memberi keutamaan ke atas usaha memperbaiki sekolah-sekolah daif dan menyediakan bekalan elektrik bagi sekolah-sekolah di Sarawak termasuk menyediakan penyambungan ke talian elektrik awam.
Justeru, lawatan pemantauan ini akan diadakan secara berterusan oleh pengurusan tertinggi KPM bagi memastikan segala usaha dilaksanakan mengikut jadual.
YBhg Dato' Dr Mohd Gazali melahirkan rasa puas hati dengan tindakan-tindakan yang diambil setakat ini. Bagaimanapun kata beliau, usaha itu akan dipertingkatkan bagi memastikan segala tindakan berjalan dengan lancar dan cepat.
"Pemantauan akan terus diadakan bagi memastikan tindakan yang telah dirancang berjalan dengan baik," kata beliau.
- Hits: 3458