Kolaborasi Strategik JPPKK, KPM Dan Maybank Beri Impak Positif
Pengurusan Malayan Banking Berhad (Maybank) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia di Putrajaya, hari ini. Sesi ini membincangkan hasil kerjasama strategik antara Maybank dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Maybank Internship Programme for Polytechnic Students.
Program yang julung kali diadakan oleh pihak Maybank dengan mana-manainstitusi pendidikan di Malaysia ini telah berjaya memberi impak positif kepada pelajar.
Menyedari keperluan terhadap latihan yang lebih efektif bagi menangani isu kelemahan kemahiran insaniah dalam kalangan graduan, program yang disediakan memfokuskan kepada pembangunan kemahiran serta atribut yang dikehendaki oleh majikan seperti kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis, interpersonal, pembuat keputusan serta berdikari dan berkeyakinan diri.
Sasaran utama program latihan ini adalah pelajar kumpulan B40.
Selain itu, pihak Maybank telah melibatkan pakar-pakar dari syarikat dalam menambah baik kurikulum bagi Diploma Kewangan dan Perbankan, Diploma Kewangan dan Perbankan Islam, Diploma Insurans dan Diploma Perakaunan berdasarkan keperluan terkini dalam industri dengan mengambil kira perubahan trend sosial, perundangan dan teknologi.
Arief Izzuddin Misnan, pelajar program Diploma Perbankan Islam daripada Politeknik Nilai, Negeri Sembilan berkata, program latihan industri tersebut telah berjaya memberi beliau pengalaman sebenar berkerja sektor perbankan Islam selain meningkatkan keyakinan beliau untuk berkomunikasi dengan pelanggan.
Sokongan dan panduan berterusan daripada pihak Maybank telah melayakkan beliau untuk mengikuti latihan industri lanjutan selama tiga bulan di Maybank Cawangan Jakarta, Indonesia. Beliau turut diserap masuk ke Maybank sebagai Perunding Kewangan Peribadi.
Dalam pertemuan itu, YB Dr. Maszlee turut menyarankan agar Program AIXChange iaitu program perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh-tokoh dari pelbagai industri diperluaskan kepada pelajar-pelajar di Politeknik.
Kunjungan hormat turut disertai YBrs Puan Nora Abd Manaf, Group Chief Human Capital Officer, Maybank; YBrs Ts. Dr. Mohamad Naim Yaakub, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK serta pegawai kanan Kementerian dan Maybank.
- Hits: 3719