Karnival Pendidikan Komuniti PIBKS & Best of The Best Showcase Project Based Learning (PBL) 2019

Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik telah merasmikan Karnival Pendidikan Komuniti PIBKS & Best of The Best Showcase Project Based Learning (PBL) 2019 hari ini.

Karnival Pendidikan Komuniti PIBKS & Best of The Best Showcase Project Based Learning (PBL) merupakan salah satu langkah terbaik dalam menyatukan pihak komuniti dan swasta dengan sekolah untuk sama-sama membangunkan kemenjadian murid secara holistik. Ia juga selaras dengan 6 aspirasi murid dan anjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS).

Inisiatif ini seiring dengan hasrat Menteri Pendidikan bagi mengembalikan cinta dalam pendidikan dan menjadikan sekolah untuk komuniti. Penglibatan komuniti khususnya ibu bapa dalam membantu sekolah melalui apa jua bidang dan kepakaran secara tidak langsung akan membangunkan prestasi murid-murid dalam akademik dan sahsiah.

Malah PBL ini merupakan platform terbaik bagi mengemblengkan semua pihak dalam iklim pembelajaran bagi mentransformasikan pemikiran dan pengembangan bakat murid dalam menghasilkan penyelesaian yang lebih inovatif dan praktikal.

Showcase PBL ini telah mendapat kerjasama penuh daripada Universiti Multimedia (MMU) dan Skuad PIBKS PPD Bangsar Pudu dan melibatkan penyertaan 30 buah sekolah sekitar Zon Bangsar dan Pudu yang akan mempamerkan kemahiran menyelesaikan masalah melalui pendekatan pembelajaran abad ke-21.

 
 
(UKK 31 Oktober 2019) 
 
  • Hits: 3832

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 29 Mei 2023, 13:43.