YAB Timbalan Perdana Menteri Menyempurnakan Sambutan Jubli Emas Politeknik Malaysia
Politeknik Malaysia mencatat sejarah apabila menyambut jubli emas sempena 50 tahun penubuhannya.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail berkata politeknik telah berjaya melahirkan ramai tokoh ternama.
"Politeknik merupakan ejen perubahan yang signifikan untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara.
"Dengan terbinanya 36 buah politeknik di negara ini, saya dapat melihat kejayaan besar sepanjang 50 tahun penubuhannya dalam bersama-sama membangunkan negara," ujarnya semasa berucap menyempurnakan Majlis Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Politeknik Malaysia di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak hari ini.
Turut hadir, YB Timbalan Menteri Pendidikan, Puan Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato'. Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) YBhg. Prof. Dato' Ts. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz.
Dalam pada itu, YB Puan Teo berkata politeknik dan kolej komuniti telah melahirkan lebih 500,000 graduan dan lebih 100,000 pelajar sepenuh masa yang berdaftar dalam sistem pada satu-satu masa.
"Ini menunjukkan masyarakat khususnya ibu bapa percaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat menyediakan pelajar untuk kerjaya yang memerlukan kepakaran dalam kemahiran tertentu," ujarnya pada majlis sama.
Kini terdapat 36 buah politeknik dan 102 buah kolej komuniti seluruh negara.
(UKK 7 April 2019)
- Hits: 3734