Karnival Jom Masuk IPT: Pelajar Dinasihat Bijak Pilih Program
YBhg. Datin Paduka Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini meluangkan masa mengadakan lawatan ke Karnival Jom Masuk IPT 2019 Zon Sarawak, yang kini berlangsung di Mydin Mall Petra Jaya, Kuching. Turut hadir YBhg. Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Menurut YBhg. Datin Paduka Ir. Dr Siti Hamisah, para pelajar harus bijak memilih program yang sesuai dengan jiwa masing-masing kerana itu merupakan perancangan masa hadapan mereka sendiri.
"Dalam konteks ini, sasaran kita ialah untuk mendapatkan pelajar dan menawarkan tempat sebanyak mungkin kepada para pelajar lepasan sekolah yang berkualiti dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, terutamanya dari kumpulan arus perdana," kata beliau.
Setakat pagi tadi lebih 20,000 pengunjung membanjiri Mydin Mall Petra Jaya untuk mengambil bahagian dalam Karnival Jom Masuk IPT 2019 Zon Sarawak. Jumlah ini dijangka akan meningkat pada petang ini.
Zon Sarawak merupakan zon kelima Karnival Jom Masuk IPT dengan melibatkan lebih 50 pempamer terdiri dari agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA dalam negara serta agensi lain yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.
Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya cabutan tiket bertuah, pertandingan 'scavenger hunt', 'wheel of fortune' dan 'giant snake and ladder'.
- Hits: 3879