"Pendidikan Ialah Tanggungjawab Bersama", Kata YB Dr Maszlee Malik

"Saya saya secara peribadi sentiasa tekankan; pendidikan ialah tanggungjawab bersama. Pendidikan bukan soal bertanya, apa yang orang lain gagal lakukan, tetapi bertanya apa yang kita mampu untuk lakukan."
 
Demikian menurut YB Dr Mazlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia ketika berucap pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam hari ini.
 
Menyampaikan ucapan di bawah tajuk "Wawasan Pendidikan Malaysia", beliau mengajak para hadirin kembali bertanya dan berbahas semula, dalam nuansa dasawarsa hari ini; soal "apa", soal "kenapa" dan "bagaimana" pendidikan harus berfungsi sebagai tunjang kepada pembinaan bangsa dan identitinya.
 
"Seingat saya, konsep pendidikan yang benar-benar menjadi raison d'être kepada pembinaan negara bangsa ini telah melalui beberapa tahap dan perkembangan."
Menurut YB Dr Maszlee, setahun selepas Kabinet pertama Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dan telah dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussain, tertubuhlah Jawatankuasa Pendidikan 1956 yang bertujuan untuk kembali menyemak dan memperbaharui sistem pendidikan negara. Lapora itu dikenali sebagai "Laporan Razak".
 
Untuk menilai dan menambah baik laporan ini, katanya, "seingat saya, sekitar 1960, satu Jawatankuasa Penyemak Pendidikan telah ditubuhkan." Hasilnya, wujudlah  "Laporan Rahman Talib."
 
Umumnya, laporan ini bersetuju dan menyokong hampir semua dasar yang dicadangkan oleh Laporan Razak sebelum ini, namun perlu disusuli dengan beberapa penambahbaikan.
 
"Dua laporan ini mempunyai tujuan dan hasrat yang sangat besar. Semangat kewarganegaraan giat disemarakkan. Semangat perpaduan kaum, saling menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain, mula ditanam.
 
"Konsep cintakan negara ini, sebagai sebuah negara yang mandiri, yang tidak perlu bergantung kepada orang lain, mula benar-benar dibina ke dalam jiwa setiap rakyat.
 
"Dan impaknya, terbentuklah Akta Pendidikan 1961, dan sekali gus membawa kepada kita suatu naskhah yang sangat bersejarah, iaitu Dasar Pendidikan Kebangsaan 1961," kata beliau seterusnya.
 
Melalui Dasar itu juga,kata beliau, "kita mula perlahan-lahan melakarkan identiti negara bangsa kita sendiri sebagai sebuah negara merdeka. Dan terasnya, ialah pendidikan."
 
Itu belum lagi kita sentuh soal-soal lain, sebagai contoh bagaimana Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru dibentuk dengan beresensikan pendidikan, dan bagaimana YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mempengerusikan sendiri Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1974 yang bermatlamatkan untuk menyemak kembali dasar pendidikan kebangsaan dan bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
 
"Sejarah yang panjang ini ialah batu-bata yang telah disusun, secara teliti dan berhati-hati, tidak lain tidak bukan hanya untuk membentuk identiti, personaliti, keperibadian dan keindividuan seorang rakyat Malaysia.
 
"Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Bajau, Murut, Baba dan Nyona; semuanya ialah rakyat Malaysia, dan semuanya ialah produk kepada kerja keras orangorang terdahulu yang memberikan tumpuan yang sangat mendalam terhadap pendidikan," ujar beliau menarik perhatian para hadirin.
 
YB Dr Maszlee berkata, beliau menyorot aspek itu sebagai sebagai refleksi dan imbauan bagaimana pendidikan mempunyai fungsi yang sangat besar di dalam membentuk identiti negara bangsa, sekali gus membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.
 
"Dan tugas kita semua, ialah untuk menyambung semula harakat perjuangan ini.
 
"Anak muda yang ada di sini pada hari ini, ialah batu-bata yang akan menentukan kedudukan Malaysia 10, 20, dan 50 tahun akan datang."
 
 
 
(UKK 1 April 2019)
  • Hits: 3381

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 03 Jun 2023, 16:23.