YB Dr Maszlee Mahu Swasta-Awam Berganding Majukan Pendidikan Negara
YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia hari ini menghadiri Program Hari Terbuka Sektor Pendidikan Swasta (Private Education Division Open Day) di Universiti MAHSA, Bandar Saujana Putra, Selangor.
Beliau dalam ucapannya berkata, sektor pendidikan swasta memainkan peranan yang besar dalam sistem pendidikan.
"Saya berharap agar sekolah swasta akan bekerjasama dengan rakan-rakan mereka di sekolah awam supaya pelajar dan guru dapat belajar antara satu sama lain dan mencari penyelesaian kreatif.
"Kongsilah sumber, kemudahan dan kepakaran anda kerana kita semua berada di negara yang sama dan kita perlu membina negara bersama-sama," katanya.
Menurut beliau, sekolah seharusnya menjadi tempat pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.
"Sekolah harus menjadi tempat kanak-kanak belajar menyukai ilmu pengetahuan dan belajar untuk saling menyayangi. Sekolah perlu menjadi tempat di mana kanak-kanak, ibu bapa dan guru sama-sama mengamalkan nilai perpaduan dan hormat-menghormati," jelas beliau.
Tambah YB Dr Maszlee, terdapat tiga tonggak utama dalam mengukuhkan kemampanan pendidikan swasta di Malaysia iaitu dengan menerima kepelbagaian, menubuhkan dan mengekalkan piawaian institusi pendidikan swasta serta memupuk perkongsian pintar.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi penerangan berkenaan dasar-dasar dan pengoperasian secara langsung kepada pengusaha sekolah swasta dan antarabangsa bagi meningkatkan kecekapan dalam penubuhan dan pengoperasian.
Turut hadir, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Hj. Mohamed Haniffa Hj. Abdullah, Pengarah Eksekutif Universiti MAHSA dan YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta Kementerian Pendidikan Malaysia.
- Hits: 4763