Festival Guru Malaysia Sempena Sambutan Hari Guru 2019

Guru-guru perlu sentiasa bersedia dalam menempuhi cabaran revolusi Industri 4.0, kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, YBhg Datuk Dr. Amin Senin ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia di Pulau Pinang sebentar tadi.

Berucap mewakili YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, beliau berkata, para guru harus memainkan peranan utama sebagai agen perubahan.

"Begitu jugalah daripada pihak pengurusan sekolah. Mengintegrasi dan membudayakan ICT pada setiap kesempatan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah mampu mempengaruhi minat dan keupayaan untuk merubah amalan pengajaran dan pembelajaran sedia ada dan membawa amalan tersebut ke peringkat yang lebih berkualiti lagi," kata beliau.

Kata beliau, dalam memelihara kebajikan warga pendidik dan membantu memartabatkan profesion keguruan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik usaha Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) untuk mengemukakan cadangan mengenai keperluan memperkenalkan satu skim perlindungan kemalangan berkelompok kepada guru-guru, khususnya yang bertugas mengiringi pelajar-pelajar menghadiri sebarang aktiviti luar sekolah.

"Saya berharap YGMB dapat mengemukakan cadangan yang baik ini untuk bersama-sama difikirkan mekanismenya," kata beliau lagi.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan anugerah kepada para penerima Anugerah Guru Sempena Hari Guru 2019 bagi tujuh kategori individu dan satu kategori berkumpulan.

Johan Keseluruhan Guru Inovatif Tahun 2019 telah dianugerahkan kepada Cikgu Julianty Idris, guru SK Rumbia, Alor Gajah Melaka. Beliau yang menghasilkan ciptaan "Beezy Whizzy" telah berjaya membawa pulang plak dan wang tunai RM2,000.

Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia turut dihadiri Pengerusi YGMB, YBrs Aminudin Adam; Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, YBhg Datuk Wan Munadi Wan Mamat serta Pengurusan Tertinggi KPM.

 

 
 
 
(UKK 13 Mei 2019)
  • Hits: 2533
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 23 Oktober 2019, 08:29.