Bahang Kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan Makin Terasa. KPM Anjur Konvoi Jalur Gemilang.
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos, KPM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Jabatan Pendidikan Selangor telah menganjurkan satu Konvoi Jalur Gemilang berlangsung dengan penuh meriah hari ini.
Konvoi ini bermula di Perkarangan Lobi KPM seawal 8.30pagi dan telah dilepaskan oleh YB Cikgu Muslimin bin Yahaya, Timbalan Menteri Pendidikan I.
Turut sama ialah YBhg Datuk Yusran Shah bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan warga kerja Kementerian Pendidikan Malaysia.
Konvoi yang disertai oleh pengetua-pengetua dan guru-guru sekitar sekolah Putrajaya dan Selangor ini melibatkan sebanyak 130 buah kenderaan pelbagai jenis terdiri daripada 30 buah kereta dan 100 buah motosikal.
Lima buah sekolah dilawati dengan penyerahan Jalur Gemilang dan nyanyian Lagu Negaraku.
Sekolah-sekolah dilawati adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1), Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3), Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1), Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 17 (1) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1),
YB Cikgu Muslimin berkata, “Tujuan konvoi ini diadakan adalah bagi menterjemah semangat patriotik cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbuka. Kibaran bendera negara ‘Jalur Gemilang’ ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat terutamanya dikalangan warga KPM dan sekolah”.
(UKK 27 Ogos 2020)
- Hits: 4655