Teks Ucapan YB Menteri Sempena Kem Perpaduan 1Malaysia Dan Pertandingan Tarian Integrasi Di Bawah Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2015

LOGO KPM 2013 BM 01 xxs

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI MAHDZIR BIN KHALID

MENTERI PENDIDIKAN

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

SEMPENA

KEM PERPADUAN 1MALAYSIA DAN PERTANDINGAN TARIAN INTEGRASI

DI BAWAH RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP) PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2015

 

PADA 1 OKTOBER 2015

 

DI DEWAN GRAND LUKUT,

PORT DICKSON, NEGERI SEMBILAN

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam Perpaduan Melalui Kokurikulum dan Salam Sehati Sejiwa

Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusof

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia

YB Dato’ Shamsul Kahar bin Mohd Deli

Exco Pendidikan dan Kesihatan Kerajaan Negeri Sembilan

Yang Berusaha Puan Rozainum binti Ahmad

Pengarah

Bahagian Kokurikulum dan Kesenian

Kementerian Pendidikan Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Hajah Kalsom binti Khalid

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan

Pengarah-pengarah Bahagian atau wakil,

Pengarah-pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri,

Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah,

Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar, , Dif-dif Jemputan,

Tuan-tuan, Puan-puan dan murid-murid yang saya kasihi sekalian.

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya kita dapat berhimpun pada hari ini sempena Program Kem Perpaduan 1Malaysia, dan Pertandingan Tarian Integrasi di bawah Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2015.

2. Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan setinggi –tinggi penghargaan kepada Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia yang begitu komited sebagai peneraju perkukuhan perpaduan melalui aktiviti kokurikulum atas penganjuran program ini, yang diadakan sebagai acara tahunan. Terima kasih juga kepada pihak pengelola, iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan kerana berjaya menjalankan amanah, dan tanggungjawab untuk mengelolakan program ini sebagaimana yang telah dihasratkan oleh Kementerian.

Hadirin sekalian,

3. Perpaduan telah menjadi agenda pendidikan sejak Penyata Razak 1956 lagi, iaitu bertujuan untuk merapatkan jurang antara kaum demi memupuk perpaduan nasional melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, dan bahasa pengantar di sekolah.

4. Sebagai sebuah negara majmuk yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum, dan etnik, Malaysia perlu sentiasa memperkukuhkan perpaduan nasional supaya masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat terus mengecapi keamanan dan mencapai cita-cita negara. Dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi melalui persekitaran global yang semakin mencabar, kita telah menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 atau PPPM.

5. Pelan ini menyediakan pembangunan pendidikan yang menyeluruh untuk menzahirkan transformasi pendidikan secara mapan sehingga tahun 2025. Hal ini direncanakan melalui lima aspirasi sistem PPPM, dan salah satu daripada aspirasi tersebut ialah perpaduan.

6. Demi pengukuhan perpaduan nasional yang berterusan, usaha meningkatkan interaksi dalam kalangan murid adalah perlu bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman, dan aspirasi masa hadapan Malaysia. Situasi pelbagai jenis atau aliran sekolah yang wujud dalam sistem pendidikan pada masa ini tidak menyumbang kepada interaksi yang dihasratkan oleh Kementerian. Untuk itu Kementerian meneruskan agenda memupuk perpaduan melalui pelbagai program sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan.

7. Salah satu usaha ini adalah dengan melalui Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan atau RIMUP, yang pelaksanaannya adalah khusus untuk memberi peluang kepada murid-murid pelbagai kaum daripada berlainan jenis atau aliran sekolah untuk berinteraksi melalui aktiviti integrasi atau perpaduan.

8. Saya difahamkan bahawa beberapa aktiviti telah dirancang dan dilaksanakan di bawah RIMUP. Salah satu daripadanya ialah Program Rakan Perpaduan yang melibatkan sekolah-sekolah yang mempunyai populasi murid yang homogen, atau sekolah yang majoriti populasinya adalah daripada satu kaum sahaja. Program Rakan Perpaduan, bertujuan mengelompokkan dua atau tiga jenis sekolah untuk melaksanakan aktiviti integrasi atau perpaduan secara bersama-sama sebagai aktiviti kokurikulum.

9. Pihak Kementerian telah juga melaksanakan Pertandingan Tarian Integrasi secara rintis pada tahun 2014 sebagai satu pendekatan untuk menggalakkan dan memberi lebih peluang kepada murid pelbagai kaum daripada sekolah-sekolah ini berinteraksi. Di samping itu, murid-murid dapat mempelajari, dan menghayati tarian pelbagai kaum, dan etnik dalam konteks integrasi secara bersepadu dan pihak Kementerian menggalakkan pelaksanaannya di peringkat daerah, dan negeri sebelum pertandingan di peringkat kebangsaan.

10. Pelaksanaan Program Kem Perpaduan dan Tarian Integrasi ini mampu menjadi landasan terbaik untuk menyemai sikap kasih sayang, dan menyemarakkan semangat ‘esprit de corp’ antara murid pelbagai kaum. Program ini juga dapat memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan murid, di samping memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari cara hidup, dan budaya kaum lain supaya mereka dapat menerima, menghormati dan menghayati kepelbagaian kaum yang terdapat di negara ini.

11. Dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti integrasi melalui RIMUP ini, pihak Kementerian berharap dapat mencapai matlamat RIMUP, iaitu untuk melahirkan generasi Malaysia yang mempunyai identiti nasional yang kukuh serta dapat menerima, menghormati dan menghayati hakikat kepelbagaian kaum Negara ini.

12. Saya berharap agar semua murid yang mengikuti program ini akan memanfaat dan menjalinkan semangat muhibah dalam kalangan mereka selain dapat memupuk semangat hormat-menghormati serta saling memahami adat, dan budaya rakyat berbilang kaum.

Tuan-tuan dan puan-puan,

13. Usaha mengukuhkan perpaduan adalah perlu sewaktu usia kanak-kanak lagi khususnya dalam alam persekolahan. Murid yang berumur di antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Oleh itu, sekolah berperanan untuk memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan murid. Kita perlu menerapkan perpaduan yang menjadi tonggak kepada kekuatan negara di dalam jiwa, dan minda anak-anak kita. Justeru itu, pendidikan merupakan platform yang penting untuk menyemai, dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda di samping menjadi pemangkin bagi melahirkan warganegara yang beridentiti dan berdisiplin.

14. Perpaduan nasional ialah elemen penting dalam melahirkan NEGARA BANGSA di samping membantu mengekalkan kestabilan, kemajuan, dan tamadun bangsa di dalam negara Malaysia yang merdeka. Oleh itu, sebarang usaha menyatupadukan rakyat negara ini hendaklah memberi keutamaan terhadap pengukuhan integrasi antara pelbagai kaum. Usaha ini akan berhasil jika setiap warganegara cinta akan tanah airnya dan bergerak seiring dengan kemajuan yang direncanakan.

15. Kita tidak mahu menilai perpaduan secara ‘luaran’ sahaja tanpa penghayatan tentang kepentingan serta keperluan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Oleh itu, kita perlu sentiasa menyemai nilai dan semangat perpaduan bagi menangkis sebarang unsur atau anasir jahat yang cuba menggugat keamanan yang kita kecapi. Negara yang tidak aman, dan kucar-kacir, sudah pasti membantutkan segala usaha, dan perancangan kerajaan mencapai hasrat Wawasan 2020.

16. Memetik Kad Laporan Tahunan 2014 Kementerian, program RIMUP telah dijalankan di 3,011 buah sekolah melibatkan aktiviti seperti tarian tradisional dan sesi permainan, aktiviti sukan, Karnival Bahasa serta debat perpaduan. Sejumlah 20,916 orang pengurusan sekolah telah dilatih mengenai konsep RIMUP manakala kajian perpaduan telah dijalankan melibatkan seramai 4,467 guru serta 4,639 murid. Di samping itu, untuk program tarian integrasi ini, program rintis dijalankan melibatkan 79 kluster sekolah RIMUP.

17. Menyedari betapa pentingnya perpaduan dalam melahirkan NEGARA BANGSA ini, saya berazam akan MEMPERKASAKAN lagi RIMUP ini.

Tuan-tuan, puan-puan, dan murid-murid sekalian,

18. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan penghargaan, dan ucapan tahniah serta terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

19. Akhir sekali, dengan sukacitanya saya merasmikan Penutupan Kem Perpaduan 1 Malaysia dan Tarian Integrasi Peringkat Kebangsaan di bawah RIMUP Tahun 2015.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.