Teks Ucapan YB Menteri Pendidikan Sempena Majlis Prapelancaran APFEC 2016

TEKS UCAPAN

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

YB DATO’ SERI MAHDZIR KHALID

MAJLIS PRAPELANCARAN ASIA-PACIFIC REGIONAL POLICY FORUM ON EARLY CHILDHOOD CARE AND EDUCATION (APFEC) 2016

DI FOYER ARAS 6, BLOK E8, KPM

JAM 2 PETANG

 

Assalamualaikum W.B.T, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

YB Dato’ P.Kamalanathan A/L P.Panchanathan,

Timbalan Menteri Pendidikan I,

YB Senator Tuan Chong Sin Woon,

Timbalan Menteri Pendidikan II,

YBhg. Tan Sri Dr. Madinah Mohamad,

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia,

YBhg. Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof,

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha, Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Ketua-ketua Bahagian, pihak media, sekretariat APFEC dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

    1. Alhamdulillah syukur kepada Tuhan kerana dengan limpah kurniaNya kita dapat bersama-sama berkumpul di sini untuk majlis Prapelancaran Asia-Pacific Regional Policy Forum on Early Childhood Care and Education atau APFEC 2016.

 

    1. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, APFEC 2016 dijadual berlangsung pada 19 – 21 Julai 2016 bertempat di Hotel Marriot Putrajaya. Forum ini merupakan kerjasama kerajaan Malaysia dengan pihak UNESCO, UNICEF dan ARNEC dan disokong oleh Japan Funds-in-Trust dan Open Society Foundations. Forum ini dijangka dihadiri oleh Menteri Pendidikan dan delegasi dari 45 negara rantau Asia Pasifik.

 

    1. Saya dimaklumkan Malaysia telah ditawarkan oleh pihak UNESCO sebagai hos untuk forum kedua semasa sesi rumusan forum pertama di Seoul, Korea Selatan pada 2013. Ini membuktikan pihak agensi antarabangsa yakin dengan kemampuan Malaysia menganjurkan acara antarabangsa seperti APFEC 2016. Selain itu, saya pasti mereka memilih Malaysia kerana transformasi dan perkembangan pesat pendidikan di negara kita khususnya pendidikan awal kanak-kanak.Tan Sri-Tan Sri, Datuk-datuk, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian;

Tan Sri-Tan Sri, Datuk-datuk, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian;

    1. APFEC 2016 yang bertemakan The Transformative Power of Early Childhood: Innovations for Inclusivity and Quality merupakan satu platform untuk kerajaan mengetengahkan kemajuan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia kepada dunia amnya dan negara rantau Asia Pasifik khasnya. Melalui APFEC 2016 kita dapat berkongsi pengalaman dalam memajukan pendidikan awal kanak-kanak seperti latihan guru, kurikulum, penyelarasan dengan pelbagai agensi yang menyediakan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia serta perkongsian pintar dengan sektor swasta.

 

    1. APFEC 2016 juga membuktikan usaha KPM memajukan pendidikan awal kanak-kanak kepada masyarakat. Usaha ini dilaksanakan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goal; SDG) yang dicadangkan oleh pihak UNESCO iaitu SDG 4.2 “Menjelang 2030, semua kanak-kanak lelaki dan perempuan mendapat akses kepada perkembangan awal, asuhan dan pendidikan prasekolah yang berkualiti supaya mereka bersedia untuk pendidikan sekolah rendah,” (By 2030, ensure that all girls and boys have access to quality early childhood development, care and pre-primary education so that they are ready for primary education”). SDG 4.2 ini juga merupakan asas bagi penggubalan Deklarasi Putrajaya yang akan dimenterai pada sesi akhir APFEC 2016.

 

    1. Saya menyeru semua pihak agar bekerjasama dalam memastikan penganjuran APFEC berjalan lancar dan cemerlang. Kepada pihak media, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat menyokong kami dalam mempromosi APFEC 2016. Saya juga berdoa agar penganjuran APFEC 2016 berjalan lancar dan menjadi kebanggaan dan kenangan manis warga KPM.

 

  1. Dengan lafaz Bismillahhirahmannirahim saya merasmikan Prapelancaran Asia-Pacific Regional Policy Forum On Early Childhood Care And Education (APFEC) 2016

Sekian, terima kasih.

  

Bil Tajuk  
1 TEKS UCAPAN YB MENTERI PENDIDIKAN PRAPELANCARAN APFEC 2016 Muat Turun
  • Hits: 2728

Ikuti kami di media sosial rasmi:

© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 01 Oktober 2020, 08:36.