Teks Ucapan: Majlis Serah Tugas YB Menteri Pendidikan
TEKS UCAPAN
MAJLIS SERAH TUGAS
YB MENTERI PENDIDIKAN
PENDAHULUAN
1. Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera. Marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran terhadap Allah SWT kerana dengan kudrat dan kekuasaanNya dapat kita bertemu pada majlis yang berbahagia ini.
2. Saya dimaklumkan bahawa mantan Menteri Pelajaran YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid pada awalnya bersedia dan bermurah hati untuk hadir sama untuk menyerahkan tugas sendiri kepada saya. Tetapi malangnya oleh kerana kecemasan keluarga, beliau tidak dapat hadir. Kita doakan agar semua urusan beliau dipermudahkan insha Allah.
UCAPAN TAHNIAH
3. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada YB Dato’ Seri Mahdzir di atas segala bakti dan usaha gigih dalam memajukan bidang Pendidikan di Malaysia. Kita melihat bagaimana YB Dato’ Seri dan pasukan berusaha begitu keras untuk membawa tahap pendidikan negara ke peringkat yang lebih baik mengikut acuan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
4. Tumpuan khusus YB Dato’ Seri dalam meningkatkan tahap infrastruktur pendidikan, mengukuhkan pembangunan TVET dan penumpuan kepada bidang STEM merupakan antara perkara yang sebenarnya memberikan kekuatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan.
5. Pelbagai kejayaan yang ditempa KPM di peringkat antarabangsa sepanjang di bawah pentadbiran YB Dato’ Seri juga amat membanggakan Malaysia, ini termasuk kejayaan menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO 2015-2019.
CABARAN BAHARU
6. Kini cabaran yang diharungi YB Dato’ Sri beralih kepada saya dan dengan kekuatan pasukan yang ada, saya yakin kita akan berjaya dan mampu memberikan yang terbaik untuk memastikan pembangunan bidang pendidikan memberikan manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
7. Kerajaan yang baru pada hari ini memberikan tumpuan utama terhadap bidang pendidikan dan ia dilihat sebagai teras terpenting bagi membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia seperti dihasratkan melalui Teras 5 Buku Harapan.
8. Kerajaan Pakatan Harapan ini komited untuk menjadikan sekolah-sekolah Kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat dan ia akan menjadi fokus utama saya dan pasukan untuk melaksanakan pengukuhan sistem persekolahan ke arah lebih baik di samping memastikan guru-guru mampu menikmati profesion lebih cemerlang. Kerajaan juga berhasrat mahu menilai secara teliti pelbagai isu berkaitan profesion ini termasuk beban tugas guru.
9. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tumpuan khusus akan diberikan kepada tahap umur awal persekolahan. Peringkat umur ini sangat penting untuk diberikan perhatian kerana ia merupakan peringkat pembinaan sahsiah dan ini ialah kunci kepada pembinaan bangsa Malaysia yang memiliki keupayaan dan nilai positif dalam diri. Pendidikan di peringkat awal ini harus diisi dengan kemampuan kita membina manusiawi dalam diri mereka dan tidak harus diberatkan dengan elemen peperiksaan dan pembelajaran biasa yang dilalui. Kita akan mengusahakan sebuah budaya pendidikan yang berteraskan kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat menghormati.
10. Tumpuan penting juga akan terus diberikan kepada pendidikan berpaksikan teknologi. Kita akan meneliti kebolehan menggunakan teknologi terbaru dalam system pembelajaran, termasuklah menggunakan system IT untuk membolehkan para pelajar mendapat pendedahan yang lebih meluas. Penguasaan Bahasa yang pelbagai demia membolehkan anak-anak muda kita mengakses peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi juga akan diberi perhatian.
11. Di samping itu, pengukuhkan berterusan bidang TVET dan STEM juga akan diteruskan. Ini termasuk usaha meningkatkan keupayaan dari sudut infrastruktur dan kelengkapan pendidikan.
12. Golongan kurang upaya (OKU) dan anak-anak istimewa mempunyai tempat yang khusus dalam hati saya. Saya mahu memastikan mereka mampu mendapat pendidikan yang berkualiti melalui suasana persekolahan yang kondusif. Malah lebih istimewa kita juga mahu melihatkan OKU turut diberikan peluang secara lebih baik untuk turut terlibat dalam bidang STEM dan TVET bagi memastikan mereka mempunyai masa depan lebih cerah.
12. Kita maklum bahawa di peringkat awal ini, kita perlu menguruskan penggabungan sector Pendidikan asas dan Pendidikan tinggi yang sebelumnya ditadbir dalam dua kementerian menjadi satu. Saya dan pasukan saya akan membuat yang terbaik untuk menguruskan perubahan ini dan saya percaya pasukan yang ada telah memahami keperluan dan keupayaan masing-masing dalam memahami bidang tugas sendiri. Bagi saya, penggabungan ini mampu mengukuhkan pembangunan bidang pendidikan di Malaysia kerana kita oleh mempunyai horizon yang lebih Panjang apabila melihat isu Pendidikan.
13. Dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk pendidikan asas dan pendidikan tinggi akan menjadi asas permulaan kita. Kita akan melaksanakan penilaian secara menyeluruh melalui satu mid-term review terhadap program dan aktiviti yang telah dilaksanakan melalui Pelan ini. Penilaian ini adalah satu usaha kita bersama untuk mengukuhkan pelaksanaan kedua-dua pelan dan memastikan ia difahami oleh pihak-pihak berkepentingan yang terlibat.
14. Kita tidak mahu Pelan yang dirangka dan dilaksanakan ini hanya difahami oleh kita di peringkat Kementerian sahaja. Pihak pelaksana misalnya guru-guru dan pensyarah-pensyarah serta murid-murid dan golongan mahasiswa juga perlu memahami dan mendalami apa yang dihasratkan melalui pelan-pelan ini. Kefahaman golongan pelaksana di peringkat sekolah dan universiti akan menjadi tumpuan kita dan segala apa yang dirancangkan akan hanya berjalan baik jika mereka dilibatkan secara lebih inklusif.
15. Bagi memastikan tahap kefahaman mereka jelas, kita akan cuba melaksanakan beberapa siri pertemuan dengan stakeholders bagi Kementerian termasuk guru, pensyarah, murid dan mahasiswa bagi memastikan reaksi dan hasrat mereka terhadap sistem pendidikan negara adalah sepadan dengan apa yang sedang diusahakan oleh Kementerian.
16. Saya juga ingin mengambil peluang untuk memaklumkan bahawa dalam proses transisi ini, saya akan dibantu oleh beberapa individu dalam pejabat saya. Sepanjang proses transisi ini, saya akan dibantu oleh rakan saya Saudara Wan Saiful Wan Jan, dan beliau juga akan membentuk sebuah pasukan dalam pejabat Menteri dalam jangka waktu terdekat.
17. Saya menyedari amanah yang sedang dipikul ini sudah tentu berat, namun ia adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan untuk kemajuan anak bangsa Malaysia.
18. Saya berharap kita akan sama-sama berusaha demi kemajuan pendidikan negara.
Sekian, Assalamualaikum WBT.
Muat turun Teks Ucapan di sini.
- Hits: 9882