Ucapan YB Menteri Pendidikan Semasa Penggulungan KSPRM Ke-11 di Dewan Negara pada 6 Disember 2018

Pendahuluan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahir Rahmanir Rahim.

Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil kesempatan awal untuk merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat Senator yang prihatin dengan isu-isu pendidikan dan seramai 15 orang YB Senator terlibat memberikan pandangan dan teguran yang cukup membina demi membantu penambahbaikan berterusan sektor pendidikan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

Izinkan saya mulakan dengan dua rangkap syair;

“Dengarlah wahai anakanda
Rajinlah belajar sepanjang masa
Ilmu tiada pernah habis dieja
Sebagai bekal sepanjang usia

Dengan ilmu engkau terjaga
Dari suramnya waktu dan masa
Cemerlang akan senantiasa
Menyinari dirimu di masa dewasa.”

Kementerian Pendidikan Malaysia percaya bahawa pendidikan tidak harus disempitkan kepada ruang bilik darjah dan bilik kuliah semata-mata malah perlu diperluaskan kepada segenap kehidupan dan melibatkan seluruh masyarakat. Pendidikan adalah milik semua dan tidak hanya terhad kepada Kementerian Pendidikan semata-mata. Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha ke arah merakyatkan pendidikan supaya ilmu dapat sampai kepada semua.

Bak kata Gabenor Jakarta, Anies Baswedan;

“Mendidik adalah tanggung jawab setiap orang terdidik. Berarti juga, anak- anak yang tidak terdidik di negara ini adalah "dosa" setiap orang terdidik yang dimiliki di negara ini. Anak-anak tidak berbeda. Mereka semua berpotensi. Mereka hanya dibedakan oleh keadaan.”

Tuan Yang di-Pertua,

Izinkan saya menjawab isu-isu dibangkitkan oleh Ahli Dewan yang mulia berdasarkan kluster isu.

1. Pembangunan dan Penyelenggaraan.

Terima kasih kepada YB Senator Dr. Zaiedi Bin Haji Suhaili, YB Senator Tuan Adrian Banie Lasimbang, dan YB Senator Dr. Nuing Jeluing yang menyentuh isu-isu berkaitan dengan pembangunan. Saya ingin memberi penegasan di sini bahawa kami istiqamah mendengar suara rakyat dan pemimpin yang prihatin dengan fizikal sekolah. Dalam hal ini, pembangunan sekolah daif merupakan keutamaan kepada KPM.

Saya sendiri telah turun melakukan lawatan kasih sayang ke beberapa sekolah di seluruh negara termasuklah di Sarawak pada minggu lepas untuk melihat dan memantau sendiri keadaan sekolah-sekolah di Malaysia.

Tuan Yang Di-Pertua,

Bagi negeri Sarawak, sebanyak 116 projek pembangunan sekolah daif menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS) dilaksanakan pada tahun 2018, sebanyak 67 projek daripadanya telah siap manakala baki 49 projek lagi sedang dalam pelaksanaan. Pada tahun 2018, Kerajaan menyediakan peruntukan RM1 bilion untuk projek sekolah daif.

Sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan, manakala RM400 juta diperuntukkan untuk membiayai projek semasa.

Bagi Sabah pula, jumlah projek sekolah daif pada tahun 2018 adalah sebanyak 120. Daripada jumlah ini 37 projek telah siap sepenuhnya manakala 83 sedang dalam perlaksanaan.

Pembangunan semula sekolah daif pada tahun 2019 akan ditambah baik dari aspek penggunaan skala impak, kaedah pelaksanaan dan skop pembinaan. Dalam hal ini keutamaan diberikan kepada sekolah yang telah mendapat pengesahan tidak selamat daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan teknikal KPM. Selain daripada peruntukan Kementerian Kewangan, inisiatif lain seperti mewujudkan tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan galakan sumbangan melalui potongan cukai kepada penyumbang juga akan dibincang bersama.

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan pada era baharu ini akan terus meningkatkan kemudahan pendidikan kepada semua murid di seluruh negara tanpa mengabaikan pembangunan SJKT seperti mana disebut YB Senator Datuk Sambanthan a/l Manickam. Kerajaan telah menyalurkan RM116.5 juta kepada SJK(T) Kerajaan dan SJK(T) Bantuan Kerajaan seluruh negara antara tahun 2015 hingga 2017. Pada tahun 2019, SJKT juga diperuntukkan RM50 juta untuk tabung penyelenggaraan.

Pengagihan peruntukan tersebut ke sekolah adalah berdasarkan keperluan dan keutamaan permohonan pihak sekolah kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

Kerajaan sekarang menjulang prinsip ketelusan dan integriti. Ekoran itu, KPM telah menubuhkan Jawatankuasa Penyediaan Pemberian Bantuan Tabung Penyelenggaraan Sekolah-Sekolah Bantuan Kerajaan bagi memastikan tadbir urus penyaluran serta perbelanjaan peruntukan tabung penyelenggaraan ini dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

Berkaitan dengan Hospital Pengajar UNIMAS di Kota Samarahan, projek ini telah diluluskan sebagai projek baharu di bawah Peruntukan Pembangunan (DE) Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) tahun 2019. Kos keseluruhan sebanyak RM480 juta. Siling peruntukan projek pada tahun 2019 adalah sebanyak RM5 juta.

Manakala bagi Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang kini dalam fasa pembinaan sebagai hospital pintar, Kementerian maklum bahawa projek ini memerlukan kos tambahan sebanyak RM 117 juta yang melibatkan SMART Surgical Instruments, SMART Patient Monitoring System dan SMART Building. Walau bagaimanapun, berdasarkan keutamaan dalam agihan peruntukan pembangunan Kementerian yang mengambil kira bebanan kewangan Kerajaan pada masa kini, Kementerian bersedia mempertimbangkan semula cadangan pelaksanaan perkara ini.

2. Kurikulum dan Pentaksiran

Tuan Yang Di-Pertua,

YB Senator Dr. Zaiedi Bin Haji Suhaili, YB Senator Tuan Ismail bin Yusop, YB Sen. Datuk Rabiyah binti Ali, YB Senator Dr. Mohd Nor bin Haji Monutty, dan YB Senator Puan Asmak binti Hussin telah menyentuh aspek kurikulum dan sistem pentaksiran.

Bagi membina modal insan yang seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, KPM telah mengenal pasti teras asas agenda reformasi pendidikan di Malaysia mengambil pandangan semua pihak terutamanya pandangan YAB Tun Perdana Menteri, serta membuat penanda aras dengan negara-negara yang terserlah nilai-nilai murninya seperti Jepun dan Finland.

KPM tetap menekankan pendidikan yang berteraskan nilai dan kemanusiaan yang mana semua sekolah dan institusi pendidikan akan menerapkan nilai kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati serta menghidupkan kembali nilai sivik, budaya membaca, nilai etika kerja serta nilai-nilai murni sejagat. KPM akan memastikan anak-anak belajar dengan seronok, pendidik yang mendidik kerana cintakan ilmu serta sekolah sebagai kawasan selamat untuk anak-anak kita dan masyarakat hormat-menghormati antara satu sama lain.

Usaha menerapkan dan memperkenalkan nilai-nilai murni ini akan dilakukan secara komprehensif selaras dengan konsep “pendidikan milik semua”. Anak-anak bukan sahaja akan menerima input mengenai nilai-nilai murni di sekolah, malah media juga akan menyambut. Dengan ini media akan turut memperkenalkan nilai-nilai yang pelbagai setiap dua minggu. Media juga akan membantu menerbitkan PSA (Public Service Announcement) selari dengan nilai-nilai yang diperkenalkan setiap dua minggu tersebut.

KPM juga sedang cuba mendapatkan usaha sama dari pihak swasta untuk turut mempromosikan nilai-nilai murni di cawangan mereka. KPM mahukan promosi nilai-nilai murni dan penghayatannya berlaku di segenap kehidupan rakyat. Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, pendidikan adalah tanggungjawab semua dan milik semua. Saya yakin jika semua usaha ini dilaksanakan bukan saja aspek pencapaian dan sahsiah murid dapat ditingkatkan, malah dapat mencegah gejala sosial seperti buli, gangster dan dadah dalam kalangan murid.

Izinkan saya mencontohi nasihat Dalai Lama yang telah menyatakan;

When educating the minds of our youth, we must not forget to educate their hearts,”

Tuan Yang Di-Pertua,

KPM tetap komited meningkatkan pencapaian dan mengurangkan jurang pencapaian murid, di samping tugas utama mempersiapkan anak-anak

Malaysia bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Saya ucapkan terima kasih kepada YB Senator Tuan Ismail bin Yusop dan YB Asmak binti Hussin kerana menekankan tentang keseimbangan antara mata pelajaran STEM dengan sains sosial serta sejarah bagi menyemai akar tunjang jati diri murid kita.

Pertama sekali, pedagogi harus berubah kepada pembelajaran yang berpusatkan murid (student-centred learning), perkara ini secara tidak langsung melibatkan pemantapan latihan guru di peringkat pra dan dalam perkhidmatan untuk lebih mahir dalam membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT atau HOTS). Di samping itu, latihan dalam perkhidmatan yang berterusan kepada guru juga menjadi fokus KPM. Untuk tujuan ini, KPM sedang melihat kepada kerjasama antara Fakulti Pendidikan di UA untuk membantu guru dari segi pedagogi.

Kedua, KPM melaksanakan perubahan kurikulum daripada kurikulum berasaskan standard (standard-based curriculum) kepada kurikulum bedasarkan kompetensi (competency-based curriculum) dengan mengambil kira pengetahuan, kemahiran, sikap dan tingkah laku serta nilai yang relevan bagi menyediakan murid menghadapi cabaran abad ke-21.

Ketiga, pentaksiran akan berubah, iaitu KPM akan menggantikan peperiksaan untuk murid Tahap 1 (Darjah 1, 2 dan 3) dengan pentaksiran yang lebih holistik iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). PBD yang melihat kepada perkembangan pembelajaran murid, akan menggantikan budaya peperiksaan di sekolah kepada pentaksiran yang ‘learning-centred’. Langkah ini adalah konsisten dengan halatuju KPM untuk menjadikan sekolah tempat yang gembira dan di mana cinta kepada ilmu boleh ditanam.

Dalam era baharu ini juga, KPM prihatin dengan pandangan pelbagai pihak tentang mata pelajaran Sejarah. Kurikulum Standard Sejarah digubal dengan tujuan murid memperoleh perspektif yang lebih luas tentang sejarah perkembangan dan proses evolusi peradaban dunia serta memupuk dan memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia dan warga dunia. Di samping itu juga murid didedahkan dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan berdasarkan kemahiran pemikiran Sejarah yang menerapkan pemikiran analitikal, kreatif dan reflektif. KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan Kurikulum dan Buku Teks Sejarah KPM dan mengadakan beberapa siri wacana dengan tokoh-tokoh sejarawan bagi mendapat perspektif sejarah dengan naratif yang lebih segar dan produktif.

Di samping itu, KPM juga akan melancarkan Dekad Bahasa Kebangsaan 2020 -2030 untuk memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini. Bak kata pepatah;

‘yang kurik itu kendi yang merah itu saga,
yang baik itu budi yang indah itu bahasa,’

Ini penting kerana impak akhir yang kita harapkan ialah perpaduan dan jati diri yang mantap sebagai warga negara Malaysia yang maju dan sejahtera.

KPM menghargai cadangan YB Senator Dr. Zaiedi Bin Haji Suhaili yang mencadangkan kolaboratif antara IPT dengan Jabatan Bomba. KPM menyokong sebarang kolaboratif di antara Universiti Awam (UA) dan Jabatan Bomba untuk menawarkan program akademik baharu yang berkonsep broad-based dan industry-driven demi keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara. KPM menyediakan polisi, prasarana dan penguatkuasaan dalam pendidikan tinggi melalui pengisian ruang yang diperlukan (facilitative).

Pada 21 November yang lepas, KPM telah melancarkan program life saving skills dan modul kesedaran keselamatan dan menyelamat di air 2018 selaras dengan apa yang dipraktikkan di negara-negara maju sebagai pembentukan karakter holistik. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan keselamatan dalam air serta usaha untuk mengurangkan insiden kejadian lemas sama ada di rumah, tempat kerja, pengangkutan air dan rekreasi serta mana-mana badan air.

Berhubung dengan kelajuan internet di kawasan luar bandar yang dibangkitkan oleh YB Senator Dato’ Isa Bin Hamid, KPM akan bekerjasama erat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memastikan capaian internet di sekolah selaras untuk mengoptimumkan potensi murid menguasai kemahiran abad ke-21 bagi melahirkan murid yang dinamik, fleksibel dan adapatif dalam menghadapi apa juga situasi serta berjaya mendepani cabaran kehidupan di era Revolusi-Industri ke-4 boleh dicapai.

3. TVET

Tuan Yang Di-Pertua,

Terima kasih kepada YB Senator Dr. Zaiedi Bin Haji Suhaili dan YB Senator Datin Rahimah binti Haji Mahamad yang prihatin dan cakna dengan isu-isu berhubung TVET.

Program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang dijalankan di Kolej Vokasional (KV) sedang melalui prosedur penilaian akreditasi semasa oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang telah mendapat Akreditasi Penuh MQA dinilai taraf setara dengan Diploma (Tahap 4 Kerangka Kelayakan Malaysia) untuk bekerja dalam sektor perkhidmatan awam ataupun industri tertakluk kepada Pihak Berkuasa Melantik (PBM) dan keperluan majikan yang melantik.

Untuk makluman, jurang gaji lepasan DVM di industri tertakluk kepada jenis industri, kawasan dan jawatan yang ditawarkan. Pelajar lepasan DVM telah mendapat peluang pekerjaan dan gaji yang memuaskan dalam sektor industri. Dapatan kajian kebolehpasaran oleh KPM bagi graduan DVM tahun 2017 seramai 12,803 orang graduan, pelajar yang berpendapatan dengan gaji pemulaan antara RM1,501 hingga RM 2,000 seramai 4,584 orang (35.80%) adalah kumpulan gaji yang paling tinggi diperoleh oleh pelajar lepasan DVM.

Berhubung isu penyetaraan sijil TVET, saya dimaklumkan bahawa akreditasi MQA dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dari segi pengiktirafan kedua-dua sijil adalah setara, melalui sistem akreditasi tunggal. Sebagai contoh, pengiktirafan Diploma Akademik dan Diploma Kemahiran berada pada tahap empat (4) MQF.

Berhubung dengan status Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, tindakan awal jawatankuasa tersebut adalah mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk industri, institusi-institusi Kerajaan, swasta dan pelajar. Antara strategi yang telah dilaksanakan oleh JKTVET ialah dengan mengadakan sesi jelajah atau Town Hall dan pertemuan dengan pihak yang berkepentingan dalam memberikan maklum balas berhubung usaha menambah baik TVET.

4. Guru dan Pensyarah

Tuan Yang Di-Pertua,

Isu berhubung guru dan pensyarah telah ditimbulkan YB Senator Dr. Zaiedi Bin Haji Suhaili, YB Senator Tuan Adrian Banie Lasimbang dan YB Senator Datuk Ng Chiang Chin, terima kasih saya ucapkan.

Berhubung Penempatan Guru Berdasarkan Opsyen, KPM sememangnya melaksanakan penempatan guru baharu berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen setelah menerima bekalan guru baharu yang diperaku lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Guru baharu yang berkelahiran dan beralamat di Sarawak akan diberi keutamaan ditempatkan ke Sarawak mengikut Dasar 90:10.

Bagi menjaga kebajikan guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kerajaan telah memperuntukkan Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) pada kadar RM500 untuk sekolah pedalaman kategori Pedalaman 1, sebanyak RM1000 untuk sekolah pedalaman kategori Pedalaman 2 dan RM1500 untuk kategori Pedalaman 3 berdasarkan kawasan yang diiktiraf oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Selain itu, terdapat juga guru-guru di sekolah pedalaman yang menerima Bayaran Insentif Pedalaman pada kadar 10% daripada gaji bulanan berdasarkan kawasan yang diiktiraf oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Guru-guru juga layak dibayar Imbuhan Tetap Perumahan pada kadar penuh jika kuarters yang didiami tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri.

Semua bakal guru telah diberikan pendedahan melalui kursus-kursus yang diikuti oleh bakal guru tersebut semasa menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG). Melalui kursus Budaya Dan Pembelajaran (Culture and Learning) pelajar akan dapat memahami dan peka kepada kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia serta dapat mewujudkan persekitaran bilik darjah mesra budaya.

Di samping itu, semua guru baharu yang ditempatkan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara, sama ada di bandar mahupun di luar bandar, telah diberikan pendedahan dan bimbingan untuk menyesuaikan diri serta dapat mengadaptasi persekitaran, komuniti dan budaya sekolah melalui program khas iaitu Program Pembangunan Guru Baharu bagi tempoh antara 1 hingga 3 tahun di sekolah masing-masing.

Untuk menjawab soalan YB Senator Puan Bathmavathi Krishnan tentang kesediaan sekolah pula, KPM mempunyai beberapa strategi untuk memastikan Murid Bekeperluan Khas menerima pendidikan yang selari dengan keperluan mereka, sama ada ke sekolah-sekolah biasa (mainstream) melalui Program Pendidikan Inklusif, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Sekolah Pendidikan Khas.

Antara strateginya adalah dengan penyediaan kemudahan mesra OKU secara berperingkat bermula dengan Sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi, pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif bermula 2019 di peringkat Sekolah Rendah dan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru berdasarkan Murid Bekeperluan Khas kepada guru-guru arus perdana, Pengetua/ Guru Besar dan guru pendidikan khas.

Satu dialog yang sangat terkesan buat saya dari filem Taare Zamen Par yang bermaksud “Seperti Bintang Di Bumi” dilakonkan oleh Aamir Khan tentang seorang murid yang bekeperluan khas:

“Setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan mereka sendiri, potensi mereka sendiri, minat mereka sendiri”

Penutup

Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi kementerian mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas keprihatinan, perhatian, teguran dan sokongan yang berterusan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat Senator khasnya terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh KPM. Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator yang tidak dapat saya sentuh kerana kesuntukan masa akan diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

Kata Ali Shariati,

“Kemiskinan bukanlah hari tanpa makanan, tetapi hari tanpa pemikiran.”

Sekian. Terima kasih

  • Hits: 823
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 09:46.