Gagasan untuk era baru DBP - Malaysiakini, 28 Jun 2019

dd5e1317e2802e8333dbb653c888498f

ULASAN | Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lahir daripada semangat dan kecintaan pejuang bahasa untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini. Usaha dan segala penat jerih tokoh silam wajar dihargai oleh generasi pada masa ini dan akan datang. Pada 22 Jun 1956, iaitu 63 tahun yang lalu, tertubuhnya sebuah organisasi yang diamanahkan untuk menjaga dan memelihara bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Penubuhan DBP setahun sebelum Malaysia mencapai kemerdekaannya menunjukkan bahawa fungsi, peranan dan amanah yang digalas oleh DBP sememangnya begitu penting bukan sahaja kepada rakyat, malah juga kepada bangsa dan negara. Sepanjang penubuhan DBP, pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh bagi mendaulatkan bahasa Melayu dan meletakkan martabatnya sebagai bahasa kebangsaan.

561160328ccd9c3a8bb5a2901d3b85ec

Maszlee dalam forum di DBP pada November tahun lalu 

Setelah 63 tahun penubuhannya, DBP telah melalui pelbagai perubahan dan transformasi. Mulai pertengahan tahun 2018, transformasi yang dilalui oleh DBP berada pada tahap anjakan yang maksimum. Segala-galanya terhasil daripada sokongan dan inspirasi berterusan daripada Dr Maszlee Malik, menteri pendidikan Malaysia yang berhasrat melihat DBP terus cemerlang dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Beliau bukan sahaja ingin melihat bahasa Melayu terus gemilang sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa pemersatu, malah mampu berdiri gah pada peringkat antarabangsa sebagai satu daripada bahasa utama dunia.

Dimensi baharu DBP

Mulai tahun 2018, DBP giat menggerakkan program berstatus nasional seperti Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan yang tercetus daripada idea dan gagasan Dr Maszlee Malik. Program ini merupakan penjenamaan semula Bulan Bahasa Kebangsaan dan Kempen Membaca yang pernah dilaksanakan sebelum ini dan merupakan antara program awal yang diperkenalkan oleh beliau selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.

Di bawah pimpinan Dr Maszlee Malik, usaha untuk terus melonjakkan kecemerlangan DBP dilaksanakan menerusi kajian semula Akta DBP yang memfokuskan aspek penguatkuasaan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu serta pemberian kuasa bagi penubuhan perbadanan selaras dengan hasrat dan aspirasi beliau selaku Menteri Pendidikan Malaysia.

Kajian semula Akta DBP ini diharap dapat memberikan anjakan baharu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan turut memberi kesan yang positif dalam usaha DBP untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. DBP yakin usaha murni ini pasti akan mencapai kejayaan terutamanya menerusi restu dan sokongan dalam bentuk kewangan daripada kementerian. Kemahuan politik itu amat penting bagi menjamin kejayaan serta keberkesanan sesuatu dasar atau program yang dilaksanakan oleh mana-mana agensi kerajaan. Keprihatinan serta sokongan padu menteri pendidikan kepada DBP mendapat perhatian seluruh warga DBP dan masyarakat yang memerhati DBP dari jauh.

Dasar merupakan sesuatu asas, panduan, keputusan atau aturan yang digubal oleh kerajaan bagi mencapai matlamat dan objektif tertentu. Dengan mengambil kira pengalaman serta wibawa DBP, Dr Maszlee Malik juga telah memberikan tanggungjawab kepada DBP untuk mengkaji semula Dasar Buku Negara serta menggubal dasar baharu, iaitu Dasar Sastera Kebangsaan usaha yang sangat penting untuk memastikan hal yang berkaitan dengan kepentingan membaca dirancang dan dilaksanakan sebaik yang mungkin. Dasar ini merupakan pembaharuan dan penambahbaikan pada Dasar Buku Negara yang telah dirangka berpuluh tahun dahulu. Dasar Sastera Kebangsaan pula adalah suatu paradigma baharu dalam memastikan sastera kebangsaan diperkasakan. Tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh beliau ini dapat disempurnakan dalam jangka masa yang diberikan. Penggubalan kedua-dua dasar ini juga memberikan pengalaman yang berharga kepada pasukan kerja DBP kerana kami perlu menyempurnakan tugasan berstatus nasional ini dalam jangka waktu yang singkat dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

Mendepani cabaran masa hadapan

DBP terus berevolusi dan mengadaptasi dengan cepat kepada perubahan untuk terus kekal relevan. Melihat kepada keperluan ini serta bagi menyahut saranan Menteri Pendidikan yang amat menitik beratkan tentang perkembangan dunia digital, DBP telah menggerakkan usaha ke arah transformasi digital. Usaha pendigitalan DBP ini dimulakan sejak tahun 2000 khususnya dalam usaha merakyatkan penyampaian perkhidmatan.

Bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan lebih cepat, cekap, berkualiti, proaktif dan responsif, DBP telah mewujudkan rangkaian perkhidmatan seperti Sistem Bahasa Melayu Bersepadu (SPMB), Khidmat Nasihat DBP (KNDBP), Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Portal i-Pintar, Gerbang Kata dan kedai buku maya DBPNiaga yang berupaya memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan digital. Sebanyak 40 manuskrip melayu daripada 400 manuskrip yang tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP telah didigitalkan dengan kerjasama Universiti Malaya dan dapat diakses melalui portal mymanuskrip.

Mulai tahun 2019, DBP terus berevolusi dengan meneroka dunia digital khususnya dalam fungsi penerbitan menerusi penerbitan majalah dan buku digital serta interaktif yang telah dirasmikan pada 21 Jun lalu bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63. Keupayaan DBP dalam penerbitan digital ini diharap berupaya membantu Kementerian Pendidikan antaranya termasuklah usaha merealisasikan penerbitan digital buku teks yang akan memasuki Gelombang Ketiga Penerbitan Buku Teks Digital (2021-2025) dan seterusnya menyokong aspirasi dan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Dunia pendidikan pada era digital ini memerlukan anjakan yang ketara dalam teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Atas kepentingan ini serta dengan mengambil kira aspirasi menteri pendidikan, kaedah pembelajaran campuran akan dilaksanakan oleh DBP. Menerusi kaedah pembelajaran campuran, DBP akan membangunkan sistem pembelajaran bahasa Melayu secara dalam talian. Pembelajaran secara dalam talian ini akan digabungkan dengan kaedah pembelajaran secara tradisional yang dilaksanakan oleh Akademi DBP. Menerusi kaedah ini, DBP berupaya meneroka lebih banyak calon pelajar bahasa Melayu sama ada di dalam mahupun di luar negara. Pada masa yang sama, DBP turut berupaya membentuk program-program baharu yang turut memberi manfaat kepada kumpulan khusus seperti orang kelainan upaya (OKU).

DBP juga tidak lupa akan peranan Sasterawan Negara (SN) dalam membentuk peradaban dan ketamadunan negara. Satu daripada peranan penting SN termasuklah membentuk nilai murni dalam kalangan generasi muda. Berdasarkan idea dan saranan menteri pendidikan, bagi memastikan jiwa nurani generasi muda disuntik dengan rasa cinta dan kasih kepada kesusasteraan kebangsaan, program SN di Universiti Awam (UA) dan sekolah-sekolah dipergiat pada tahun 2019. Jika sebelum ini SN hanya didekati oleh kumpulan dan kelompok tertentu sahaja, namun idea yang dicetuskan oleh Menteri Pendidikan ini berupaya mendekatkan remaja, belia dan pelajar sekolah dengan SN. Usaha murni ini diharap akan terus dipergiat dan diperluas ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula. Selain itu, usaha pembentukan peradaban dan ketamadunan negara khususnya dalam bidang kesusasteraan turut dipergiat menerusi pelbagai aktiviti keilmuan dengan SN dan anak muda di Anjung DBP dan menerusi program eksplorasi dan eksperimentasi persembahan di Stor Teater DBP. Kemuncak pengiktirafan kerajaan kepada SN adalah pengumuman pemberian elaun bulanan sebanyak RM5,000 sepanjang hayat kepada mereka pada 24 Jun 2019.

d9516c4117b964d70d66710e7b8f000a

Tujuh sasterawan negara yang masih hidup

Bagi memastikan program pengembangan bahasa Melayu dalam negara dan pada peringkat antarabangsa terus dipergiat serta dengan mengambil kira hasrat dan gagasan Menteri Pendidikan agar DBP mempelbagaikan rakan sinergi serta memperluas medium penyampaian program dan aktivitinya, maka pada sambutan ulang tahun DBP ke- 63 lalu, DBP telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman dengan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) yang memberikan tumpuan kepada usaha berkaitan pengembangan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja.

Gagasan untuk era baru DBP

Antara hasil kerjasama DBP dengan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia

Selain itu, pada majlis yang sama juga, DBP telah menandatangani surat hasrat antara DBP dengan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia yang memfokuskan kerjasama dalam aspek kebudayaan kebangsaan dan hubungan dua hala pendidikan bahasa Melayu antara Malaysia dengan China. DBP juga telah menandatangani Surat Hasrat dengan Radio TV Malaysia dan Syarikat Mache AllStar United Sdn Bhd. yang akan terus merakyatkan karya sastera dalam bentuk drama TV.

Ternyata, sokongan, aspirasi dan gagasan Menteri Pendidikan sejak tahun 2018 telah melonjakkan kedudukan DBP dalam pelbagai aspek khususnya cara berfikir, cara bertindak dan yang paling utama dalam merumuskan strategi pelaksanaan. Usaha berterusan ini tidak mudah jika DBP tidak mendapat sokongan daripada warga DBP sendiri, nakhoda DBP sebelum ini, selain rakan kerjasama dan seluruh masyarakat di negara ini. Usaha penjenamaan semula dan penstrukturan organisasi DBP adalah antara langkah untuk memastikan DBP terus memacu ke hadapan.Terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik atas perhatian yang diberikan kepada DBP. Semoga keprihatinan dan sokongan ini akan berterusan bagi memastikan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus terpelihara! Menyedari semua usaha ini masih jauh daripada kesempurnaan, warga DBP akan terus menjadi pejuang bagi memastikan bahasa dan persuratan melayu terus gemilang merentas zaman.

Penulis - ABANG SALLEHUDDIN ABG SHOKERAN ialah ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

  • Hits: 465
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 19 Oktober 2019, 13:21.