62 sukarelawan YSS berkampung di Vietnam - Berita Harian, 5 Julai 2019

KETUA Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Gazali Abas (tengah) bersama Lam Thye ketika majlis Flag Off Misi Sukarelawan Siswa YSS-Asean ke Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
 

PUTRAJAYA: Seramai 62 sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) daripada universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi (IPT) akan berkampung sebulan di Vietnam bersama 50,000 siswa negara itu untuk menyertai program Green Summer Volunteer Campaign, bermula Ahad ini.

Sukarelawan siswa YSS yang terpilih akan berlepas esok sehingga 8 Ogos bagi menjalankan khidmat bakti kepada masyarakat di empat kampung membabitkan empat daerah.

Mereka yang dipecahkan kepada empat kumpulan akan ditempatkan di Tan Kien Commune di daerah Binh Chanh; Thai My Commune di Cu Chi; Hiep Phuoc Commune, Nha Be; dan Tan Thoi Hiep Ward, di Daerah 12.

SEBAHAGIAN Sukarelawan Siswa pada majlis Flag Off Misi Sukarelawan Siswa YSS-Asean ke Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Semua sukarelawan akan bergerak ke lokasi masing-masing sebaik majlis pelancaran di bandar raya Ho Chi Minh dan tinggal bersama masyarakat setempat, seterusnya belajar menyelami kehidupan serta cara hidup dan budaya Vietnam.

Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sukarelawan akan mencurah khidmat bakti berdasarkan enam kluster iaitu pendidikan, pembangunan komuniti, kesihatan dan perubatan, agribio dan alam sekitar, teknologi maklumat dan keusahawanan sosial serta pengurusan krisis dan bencana.

“Kita berharap, peserta YSS akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat dalam negara dan antarabangsa, selari dengan harapan kita untuk melahirkan ikon sukarelawan di pentas global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Vietnam 2019 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Dalam tempoh sebulan itu, sukarelawan juga akan menjalankan kerja menaik taraf dan membina jalan, memperbaiki peralatan sekolah yang rosak, membersih dan menceriakan kawasan sekolah serta kawasan penduduk.

Selain itu, mereka akan mengadakan aktiviti ‘Fun Learning’ yang menekankan kepada penguasaan subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Program pendidikan kesihatan dan saringan kesihatan percuma juga akan dijalankan bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan kesihatan.

Permohonan & Semakan Dibuka

  • Hits: 583
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.