YB Dr Maszlee Terima Dapatan Kajian Berkaitan Inisiatif Autonomi Di Universiti Dan Kebebasan Akademik

YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia pada Jumaat lalu, 21 Jun 2019 telah mempengerusikan mesyuarat yang membincangkan kerangka dasar kebebasan akademik dan autonomi di universiti.

Pada pertemuan itu dimaklumkan mengenai dapatan-dapatan yang diperoleh hasil kajian yang dikendalikan oleh penyelidik bebas dalam kalangan akademia.

Antara tindakan yang akan diberi perhatian selepas ini mengadakan satu akta pendidikan tinggi baharu bagi memansuhkan dan menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan akta-akta yang melibatkan institusi pendikan tinggi yang bersifat akademik. Ini termasuklah mengadakan satu struktur tadbir urus baharu serta struktur pembiayaan yang lebih efisyen dan mapan dalam usaha untuk meraikan kebebasan akademik dan autonomi di universiti.

Kata Menteri Pendidikan, YB Maszlee Malik, "kerajaan mesti mengubah fungsi daripada kawalan ketat ke atas universiti kepada pembuat dasar dan kawal selia yang lebih fasilitatif."

"Saya yakin dan percaya bahawa pendekatan baharu ini akan mengorak langkah baru untuk universiti-universiti kami lebih gah di peringkat antarabangsa."

Perkara ini selari dengan Janji Kerajaan Pakatan Harapan untuk membawa semula kewibawaan universiti.

Turut hadir pada mesyuarat itu, YBhg Dato' Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha KPM dan YBhg Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPM serta pakar-pakar bebas.

 
 
(UKK 21 Jun 2019)
  • Hits: 395
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.