YB Dr Maszlee Hargai Sumbangan Sektor Korporat Dalam Pembangunan Pendidikan

Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada sektor korporat yang telah memberikan sumbangan dalam menyerlahkan potensi dan pembangunan pendidikan di Malaysia melalui inisiatif Public Private Partnerships (PPP).

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika menyampaikan ucapan dalam Program Libat Urus Sektor Korporat Bersama Menteri Pendidikan di ibu negara malam tadi.

Beliau menambah, sumbangan pihak korporat membuka peluang kepada pelajar-pelajar dengan lebih luas dalam pendidikan.

"Kesemua pelajar ini mempunyai peluang yang sama untuk menjadi pencipta, usahawan dan CEO pada masa hadapan," kata beliau pada majlis ini, anjuran Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Majlis ini bertujuan untuk menggalakkan sumbangan dan bantuan daripada pihak swasta bagi membantu KPM melaksanakan pelbagai aktiviti demi memartabatkan agenda pendidikan negara. Majlis ini memberi keutamaan kepada bantuan yang diperlukan oleh Murid Berkeperluan Khas (MBK) dalam pendidikan, namun pada masa yang sama mengalu-alukan sumbangan untuk keperluan pendidikan yang lain.

Inisiatif PPP merupakan salah satu daripada 11 anjakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025).

Ketika ditemui media kemudian, YB Dr. Maszlee turut menekankan bahawa sumbangan boleh dibuat syarikat bukan hanya dalam pembelajaran malah syarikat swasta dan pihak korporat turut boleh memberikan sumbangan mereka mengikut kepakaran masing-masing seperti pembangunan sekolah.

Terdahulu YB Dr. Maszlee mewakili pihak kementerian telah menerima sumbangan daripada pihak Prudential BSN Takaful, Yayasan Hasanah, MIA Assurance dan The Asia Foundation sebagai libat urus pihak korporat dalam memberikan sumbangan dalam pelbagai kemudahan dan fasiliti seperti peralatan untuk pelajar kurang upaya penglihatan serta lain-lain bantuan.

Untuk maklumat lanjut mengenai PPP boleh menghubungi PADU menerusi talian 03-88881001 atau akses melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Turut hadir pada majlis malam tadi Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha KPM, YBhg Datuk Dr. Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan), YBrs Dr Habibah Abdul Rahim dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (Perancangan), YBrs. Ts. Dr. Mohamad Naim Yaacob serta pemimpin-pemimpin korporat dari pelbagai sektor.

Juga hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PADU, YBrs Encik Zainal Abidin Jamal.

 
 
(UKK 21 Jun 2019)
  • Hits: 564
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 20 Ogos 2019, 17:02.