KPM-Intel Malaysia Lancar Program Latihan Industri MoE-Intel Elite

Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Intel Malaysia telah melancarkan program latihan industri (MoE-Intel Elite Internship Programme), yang melibatkan 100 orang pelajar program Ijazah Sarjana Muda daripada enam buah universiti awam (UA) hari ini di Putrajaya.

Antara Universiti Awam yang terlibat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata program berkenaan akan berlangsung selama 10 minggu bermula 24 Jun ini hingga 30 Ogos 2019 di Intel Malaysia.

Program ini direka untuk melengkapkan pelajar dengan keupayaan menggunakan perisian Synopsys Electronic Design Automation (EDA) mengikut standard industri.

"Objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada 100 orang pelajar terpilih menggunakan perisian reka bentuk cip. Semua modul program ini akan mengaplikasikan kerja-kerja makmal secara praktikal untuk memastikan pelajar dapat menggunakan perisian secara efektif dan efisyen," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Latihan Industri MoE-Intel Elite.

Menurutnya lagi, program ini adalah amat bertepatan dengan keperluan menyediakan jurutera-jurutera elektronik terlatih, sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang memberi penekanan kepada automasi elektronik.

YB Dr. Maszlee mahu supaya pelajar terlibat dapat meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah reka bentuk elektronik dan perkongsian pintar diantara ahli akademik dan industri lain diteruskan pada masa depan.

MoE-Intel Elite Internship Programme merupakan salah satu inisiatif terbaru JPT iaitu Academia Industry Expert Exchange Program (AIxPERT). AIxPERT melibatkan pertukaran kepakaran dan pengalaman antara pihak industri dan universiti dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPM, YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Pengurus Besar Intel Malaysia Design Centre (MDC), YBrs Encik Suresh Kumar; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA), YBhg. Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin dan Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Prof. Dr. Arham Abdullah.

 
 
(UKK 14 Jun 2019)
  • Hits: 796
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 22 Ogos 2019, 17:20.