YAB PM: Penghasilan Pendidikan dan TVET Bernilai Tinggi Antara Pemangkin Kemakmuran Bersama

Kerajaan telah menetapkan penghasilan pendidikan dan TVET bernilai tinggi sebagai salah satu pemangkin bagi memastikan matlamat tujuh teras strategik yang digariskan kerajaan dapat dicapai.

Pemangkin-pemangkin lain termasuklah dasar fiskal progresif, aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi, modal sokongan kewangan kompetitif, penyampaian institusi kerajaan yang efektif, kestabilan monetari, big data yang komprehensif dan terangkum dan masyarakat sivil dan berpengetahuan dan sedar adalah penting untuk menyokong matlamat dan program Kemakmuran Bersama untuk mencapai keberhasilan yang terbaik.

Perkara itu diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini ketika berucap pada majlis sambutan Setahun Kerajaan Pakatan Harapan di PICC, hari ini.

Turut hadir, YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr Wan Ismail; YB Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching; Menteri-menteri Kabinet dan pemimpin parti-parti komponen Pakatan Harapan serta pengurusan tertinggi semua Kementerian.
Kata beliau, Kemakmuran Bersama seharusnya dinilai kepada apa yang dimiliki oleh rakyat seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian bekalan, nilai jurang antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen pengukuran lain yang dapat mengukur bahawa kemakmuran bersama ini telah dikongsi oleh semua rakyat secara adil dan saksama.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan perkongsian kemakmuran.

“Kerajaan ini tidak lupa dengan tanggungjawab dan amanah yang telah diserahkan oleh rakyat kepadanya, kataya lagi.

Tun Dr Mahathir menegaskan, sepanjang dekad lalu ekonomi negara telah berubah secara radikal dan ini telah menyebabkan hasrat menjadi negara maju seperti disandarkan dalam Wawasan 2020 tidak tercapai.
Justeru tujuh teras strategik ini ditetapkan bagi memastikan matlamat Kemakmuran Bersama dapat dicapai iaitu:

1. Pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara
2. Sektor pertumbuhan baharu
3. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara
4. Memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja
5. Memperkukuhkan kesejahteraan sosial
6. Pembangunan wilayah yang inklusif
7. Peningkatan modal sosial masyarakat

 
 
 
 
(UKK 09 Mei 2019)
  • Hits: 722
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 23 September 2019, 08:51.