Biasiswa Bagi Wartawan Muda Ingin Melanjutkan Pengajian Di Universiti Awam

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik merakamkan ucapan terima kasih kepada media yang telah membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menyampaikan visi dan misi Kementerian kepada masyarakat.

Perkara itu dinyatakan oleh beliau ketika menyampaikan ucapan pada Malam Wartawan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

YB Dr. Maszlee turut mengumumkan pemberian biasiswa kepada wartawan muda yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Awam (UA).

"Ini merupakan hadiah daripada KPM dalam menghargai sumbangan dan peranan wartawan dalam membentuk Malaysia Baharu dalam bentuk yang kita sama-sama idamkan," kata beliau.

"Perincian biasiswa ini akan disiarkan dalam masa terdekat," tambah beliau.

Terdahulu YB Dr. Maszlee turut berkongsi penghargaan apabila lima wartawan yang bertugas membuat liputan pencemaran Sungai Kim Kim, Johor baru-baru turut dimasukkan ke Hospital akibat kesan pencemaran bahan kimia di sungai tersebut.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam turut berterima kasih kepada pihak media kerana membantu dalam menyelesaikan isu Sungai Benut, Johor kerana menyiarkan berita isu di Sungai terbabit sehingga tertutupnya CEP Renggam.

Majlis yang telah memasuki edisi ke-38 ini telah menyampaikan sebanyak 20 kategori Anugerah kepada pengamal media tempatan.

Pada tahun ini, mantan Ketua Pengarang Kumpulan dan mantan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar telah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara ke-12. Anugerah disampaikan oleh YB Dr. Maszlee.

YB Dr. Maszlee turut melancarkan buku berjudul "Kisah MPI" yang mengisahkan perjalanan Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang ditubuhkan pada tahun 1967.

Turut hadir Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, YBhg Datuk A. Kadir Jasin.

 
 
 
 
(UKK 26 April 2019)
  • Hits: 619
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 22 Ogos 2019, 09:04.