YB Dr Maszlee Menyempurnakan Sambutan Hari Guru Daerah Kluang

 
Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kluang Tahun 2019 telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam, Johor pagi tadi. Majlis disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik. Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, YBrs Azman Adnan.
 
Bertemakan "Guru: Obor Hemah Menyinari Pertiwi", sambutan diadakan sebagai tanda pengiktirafan atas sumbangan dan jasa warga pendidik ke arah membangunkan modal insan negara.
 
Dalam ucapan beliau, YB Dr. Maszlee memohon agar guru-guru bersedia melakukan pembaharuan melalui strategi dalam pendidikan secara optimum dan berterusan.
 
"Justeru, guru-guru mestilah sentiasa dinamik dan progresif untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman," kata beliau.
 
Beliau turut berkata, dalam merangka pendidikan holistik, KPM memberikan penekanan khusus kepada hala tuju mengembalikan cinta ke dalam pendidikan dengan memberi tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras iaitu kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati.
 
"Saya yakin bahawa guru-guru mampu untuk menterjemahkannya dalam pembelajaran demi melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan akhirnya mencintai negara", tambah beliau.
 
"Saya yakin di tangan adiwira-adiwira yang penuh dedikasi inilah letaknya harapan untuk membangunkan modal insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang," kata YB. Dr. Maszlee.
 
Sempena Sambutan Hari Guru Daerah Kluang tahun ini, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang telah menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Daerah Kluang kepada Tuan Haji Hassan Ahmad, mantan Timbalan Ketua PPD Kluang manakala Puan Hajah Rohani Bakar, mantan Pengetua SMK Simpang Renggam diumumkan sebagai Tokoh Guru Daerah Kluang Tahun 2019.
 
 
 
(UKK 14 April 2019)
  • Hits: 943
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 22 Ogos 2019, 09:04.