Inisiatif SULAM Terjemah Konsep Universiti Untuk Masyarakat

 
 
Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik menyeru Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 'menghakmilikkan' menara gading kepada masyarakat untuk manfaat lebih menyeluruh selari dengan konsep "Universiti Untuk Masyarakat".
 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Service Learning Malaysia - University For Society (SULAM) di Sekolah Kebangsaan Tanjung Surat, Kota Tinggi, Johor petang tadi.
 
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPM, YBhg Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBhg Prof Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.
 
SULAM merupakan satu inisiatif terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti.
 
Inisiatif ini bertujuan memberi pengalaman pembelajaran yang menghubungkaitkan teori dan praktis dengan penyelesaian permasalahan sebenar dalam komuniti serta berteraskan Kasih Sayang, Kegembiraan dan Saling Menghormati.
 
YB. Dr. Maszlee berkata melalui pelaksanaan SULAM secara tidak langsung dapat menghasilkan siswa yang dapat memajukan kehidupan masyarakat.
 
"Saya percaya program SULAM diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran untuk menghasilkan graduan yang bakal menjadi lentera kepada kemajuan masyarakat," kata beliau.
 
Malah beliau juga menekankan bahawa pendidikan juga seharusnya aktif ke arah menyelesaikan masalah masyarakat setempat.
 
"Masyarakat menjadi nukleus kepada makna kewujudan sesebuah institusi pendidkan terutamanya kepada universiti.
 
"Hanya dengan cara ini sajalah pendidikan menjadi perubahan kepada kehidupan sosial dalam masyarakat majmuk pasca moden ini," tambah beliau.
 
Pada majlis yang sama, beliau menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Perjanjian antara UTM dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan komuniti dengan menggunakan pendekatan SULAM.
 
KPM akan terus berusaha melaksanakan program dan aktiviti bagi meningkatkan peluang mahasiswa untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran di luar,  sekali gus melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan bercirikan keusahawanan. 
 
Konsep “Universiti Untuk Masyarakat” serta kolaborasi antara IPT dan agensi-agensi di negeri Johor diharap menjadi pemangkin kepada kerjasama universiti dan industri pada masa depan.
 
 
 
(UKK 13 April 2019)
  • Hits: 1346
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 23 September 2019, 16:09.