Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2018 - Aifa Azman Menang Anugerah Emas

 
Siang tadi telah berlangsung Majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPPM)-MSSM-MILO Tahun 2018. Majlis yang berlangsung di Putrajaya telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, YBhg Datuk Dr. Amin Senin.
 
Merupakan acara tahunan dalam kalendar KPM, Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO ini dianjurkan bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada para atlet murid, jurulatih sukan dan tokoh pemimpin sukan atas kejayaan, komitmen dan khidmat bakti yang diberikan mereka sehingga menyumbang kepada kejayaan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sepanjang tahun.
 
Membacakan teks ucapan Menteri Pendidikan YB Dr Maszlee Malik, YBhg Datuk Dr. Amin berkata, sebanyak 101 pencalonan telah diterima dari seluruh negara dalam pelbagai disiplin sukan.
 
Beliau yakin yang terbaik dalam menentukan penerima-penerima anugerah pada hari ini telah dibuat oleh panel profesional yang telah dilantik.
 
"Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada atlet murid dan jurulatih sukan untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan negara," kata beliau.
 
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kualiti yang dipamerkan oleh atlet murid sehingga dapat menjulang nama negara di persada antarabangsa.
 
"MSSM memainkan peranan yang amat signifikan dalam mencungkil bakat atlet murid untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi," tambah beliau.
 
Aifa Azman dari acara sukan skuasy telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas. Kategori Anugerah Putera Sukan Tahun 2018 telah dimenangi oleh Muhammad Fauzi Kaman Shah dari Sukan Pelayaran. Anugerah Puteri Sukan dianugerahkan kepada Izzah Amzan dari sukan gimrama. Mereka menerima piala, pingat, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000.
 
Majlis turut menyampaikan Anugerah Atlet Pendidikan Khas Putera dan Puteri serta Anugerah Tunas Sukan Putera dan Puteri.
 
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPM (Pengurusan) YBrs Mohamad Azhan Md Amir serta Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni KPM, YBrs Zainal Abas.
 
SENARAI PENUH PEMENANG ANUGERAH KPM-MSSM-MILO 2018
 
1. Anugerah Tunas Harapan Puteri - Tan Rouxin (SJKC Ping Ming, Lima Kedai, Johor Bahru)(Renang)
2. Anugerah Tunas Harapan Putera - Harith Danial Jefri (SK Jalan Bintang, Miri, Sarawak) (Skuasy)
3. Anugerah Pendidikan Khas Puteri - Lalitta Bon Ong (SMK Syed Sirajuddin, Jejawi, Arau, Perlis) (Olahraga)
4. Anugerah Pendidikan Khas Putera - Eddy Bernard (SMK Beluran, Pekan Beluran, Sabah) (Olahraga)
5. Anugerah Khas Puteri - Lee Hui Xian (Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kompleks Sukan Negara) (Wushu)
6. Anugerah Khas Putera - Fariz Haikal Mohd Kadir (SMK Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur) (Berbasikal)
7. Anugerah Guru Berjasa Wanita - Keoh Lay Khuan (SJKC Kampung Baru Semenyih, Semenyih, Kajang) (Gimrama)
8. Anugerah Guru Berjasa Lelaki - Ganesh Raza (SMK Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor) (Olahraga)
9. Anugerah Jurulatih Cemerlang - Mohd Saizul Hafifi Md Noor (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor) (Ragbi)
10. Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan) - Hj. Nik Ahmad Hj. Yaakub (Bola Sepak)
11. Anugerah Inspirasi Sukan:
(a) Muhammad Hamiz Mohd Ahir (SSTMI)
(b) Muhammad Amirul Hamizan Azahar (SSTMI)
(c) Muhammad Arif Syafie Ishak (SSTMI)
(d) Mohamad Akhimullah Anuar Esook (SSTMI)
(e) Syarman Mat Tee (SSTMI)
(f) Muhammad Noor Firdaus Rosdi (SSTMI)
(g) Muhammad Muhibuddin Moharam (SSTMI)
(h) Che Shahrul Azmi Che Saupi (SSTMI)
(i) Mohammad Kamarulzaman Kamaruddin (SMK Bentara Luar)
Sukan: Hoki 5 Sebelah (Kejohanan Olimpik Remaja)
12. Anugerah Puteri - Izzah Amzan (Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur) (Gimrama)
13. Anugerah Putera - Muhammad Fauzi Kaman Shah (SMK Kelibang, Jalan Batu Asah, Langkawi, Kedah) (Pelayaran)
14. Anugerah Emas - Aifa Azman (Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur) (Skuasy)
 
 
ANUGERAH JUARA MSSM 2018:
JOHAN - SELANGOR
NAIB JOHAN - JOHOR
KETIGA  - PERAK
 
 
 
(UKK 11 April 2019)
  • Hits: 803
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.