Majlis Sidang Ke-58 MABBIM Dan Seminar Kebahasaan

 
 
YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia hari ini telah merasmikan Majlis Sidang Ke-58 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Seminar Kebahasaan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.
 
MABBIM merupakan sebuah badan kebahasaan yang telah berjaya mempererat hubungan persahabatan dan persaudaraan tiga budaya serumpun yang berteraskan semangat kebersamaan dan permuafakatan melalui satu bahasa yang serupa dan sepunya. Semuanya bermula dengan Pernyataan Bersama yang ditandatangani pada 23 Mei 1972 di Jakarta, Indonesia.
 
Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh MABBIM demi menterjemahkan persefahaman-persefahaman tersebut yang sewajarnya kita hargai. Antara usaha yang telah berjaya dilaksanakan ialah penyeragaman sistem ejaan bahasa Melayu dan penyelarasan istilah dalam pelbagai bidang ilmu. 
 
Usaha-usaha ini diperluas dengan pelbagai kegiatan penyelidikan bahasa, penerbitan kamus istilah, jurnal, wacana ilmu, dan sebagainya yang digerakkan secara bersama.
YB Puan Teo berkata, usaha perlu dilipatgandakan untuk menjadikan bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa pilihan utama di tanah air dan bahasa utama dunia.
 
"Selaras dengan itu, melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan Dekad Bahasa Kebangsaan yang melakarkan pelan komprehensif untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pilihan utama dunia. 
 
"Bahasa kebangsaan akan diperkasakan di peringkat serantau ASEAN dan di persada dunia," katanya.
 
Sehubungan itu, usaha akan dilakukan untuk menjadikan DBP setaraf British Council, Goethe Institute dan Nippon Institute.
 
"Saya yakin bahasa ini pasti diangkat menjadi sebagai satu daripada bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Saya berkeyakinan penuh bahawa hasrat ini pasti menjadi kenyataan," tambah beliau.
 
Turut hadir, YBhg. Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia; YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia merangkap Ketua Perwakilan Malaysia dan Anggota Perwakilan; YBhg. Profesor Dr. Dadang Sunendar, M. Hum., Ketua Perutusan Indonesia dan Anggota Perwakilan; YBhg. Awang Suip Abdul Wahab, Ketua Perwakilan Brunei Darussalam dan Anggota Perwakilan dan YBrs Tajuddin Jaafar, Ketua Pemerhati Singapura dan Anggota Pemerhati.
 
 
 
(UKK 10 April 2019)
  • Hits: 663
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 21 Ogos 2019, 14:25.