Lawatan YB Puan Teo Ke Sekolah Di Kota Samarahan Dan Kuching, Sarawak

 YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia hari ini mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sebandi Matang, Kota Samarahan dan Sekolah Tanjong Apong, Kota Samarahan, Sarawak.
 
Dalam ucapannya beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited dalam memastikan pembangunan sekolah di semua negeri amnya dan Sarawak khasnya demi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
 
"Untuk tujuan pembangunan semua sekolah daif di Sarawak bagi tahun 2019, KPM telah diperuntukkan sebanyak RM100 juta yang melibatkan pembangunan semula 34 buah sekolah."
 
"Saya berharap agar kerja-kerja pembangunan semula sekolah-sekolah ini dapat disiapkan pada masa yang singkat dan kaedah yang digunakan untuk menyiapkan projek ini adalah dengan menggunakan kaedah IBS,"tambah beliau.
 
Satu usaha yang amat membanggakan apabila badan sukarela daripada US Army dan Angkatan Tentera Malaysia bekerjasama dalam membantu membina perparitan di SK Sebandi Matang ini.
 
Turut hadir, YBhg. Abang Mat Ali Abang Masagus, TimbalanPengarah Pendidikan Negeri Sarawak.
 
Dalam pada itu, YB Puan Teo juga melawat SJK Cina Bintawa, Kuching.
 
Katanya, KPM telah melaksanakan dasar Zero Reject Policy bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan seramai 83,039 orang MBK telah mendaftar awal tahun ini.
 
"Kejayaan ini merupakan inisiatif YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia dalam usaha memastikan tiada lagi golongan OKU terpinggir daripada mendapat hak asas manusiawi iaitu pendidikan yang sempurna.
 
"Bagi Negeri Sarawak, seramai 5,804 orang MBK telah mendaftar setakat 31 Januari 2019. Daripada 5,804 orang MBK tersebut, terdapat 147 orang MBK di Sekolah Pendidikan Khas, 4,432 orang MBK di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 590 orang MBK di Program Pendidikan Inklusif," kata beliau.
 
KPM mendukung hasrat "Pendidikan Untuk Semua" dalam membangunkan modal insan MBK yang  cemerlang supaya MBK dapat mencapai potensi pada tahap yang optimum.
 
 
 
(UKK 4 April 2019)
  • Hits: 801
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 17 Ogos 2019, 00:24.