Kerajaan Malaysia Komited Sediakan Pendidikan Berkualiti

 
Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Al Mutawakkil Alallahi Shah, Permaisuri Johor perkenan menyampaikan ucaptama pada Asia-Pacific Association for International Education (APAIE) Conference and Exhibition 2019 di ibu negara, hari ini.
 
Turut hadir, YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan yang menyampaikan ucapan perasmian mewakili YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.
 
Kira-kira 2,500 delegasi yang terdiri daripada ahli akademik dan tokoh pendidikan dan pemimpin sektor pendidikan dari seluruh dunia berkumpul di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) untuk menjayakan persidangan APAIE yang diadakan secara julung kali di Malaysia. Ia berlangsung mulai semalam sehingga 29 Mac 2019 ini.
 
Dalam ucapannya yang dibacakan oleh YB Puan Teo, YB Dr Maszlee berkata, kerajaan Malaysia sangat komited dalam menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti kepada rakyat.
 
"Ini termasuklah bagi golongan kanak-kanak istimewa, golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar. Sistem pendidikan di Malaysia yang berkualiti mampu menjadi pemangkin kepada mereka untuk menjadi seorang yang aktif dan proaktif."
 
Tambahan pula, kata beliau, Kerajaan Malaysia juga komited kepada visinya untuk menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan tinggi global.
 
"Pengantarabangsaan pendidikan tinggi merupakan teras kelima Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.
 
"Pada awal tahun ini, semasa ucapan Tahun Baru saya, saya secara khusus menyebut bahawa lebih banyak inisiatif yang drastik dan menyeluruh untuk pengantarabangsaan universiti di Malaysia perlu dijalankan," kata beliau.
 
Pengukuhan yang berterusan bagi agenda pengantarabangsaan dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia sememangnya telah memberi impak yang positif, kata beliau.
 
"Khususnya, terdapat pertumbuhan peningkatan pelajar antarabangsa dan kakitangan di negara ini, pergerakan masuk dan keluar untuk pelajar antarabangsa dan kakitangan, dan pengalaman yang positif secara keseluruhan daripada pelajar antarabangsa."
 
Malah kata beliau, pendidikan tinggi di Malaysia sentiasa meneliti kaedah dan strategi baru untuk meningkatkan kualiti institusi dan kapasiti kemasukan, penyediaan pendidikan, serta pengekalan pelajar antarabangsa setelah tamat pengajian mereka.
 
Hadir sama YBhg. Datin Paduka Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia; YBhg. Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan YBhg. Profesor Sarah Todd, Presiden APAIE & Naib Presiden (Global), Griffith University.
 
 
 
(UKK 26 Mac 2019)
 
  • Hits: 382
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 24 Ogos 2019, 08:12.