Program Ziarah Cakna: 'Terima Kasih KPM'

Terkejut dan gembira!!! Demikian reaksi yang dikongsi Puan Nurul Ashikin binti Ismail, 31, ibu kepada adik Erneelya Maisara Zulizwan (11 tahun) dan adik Erneelya Kaisara Zulizwan (8 tahun) - murid SK Taman Kota Kulai 2 ketika rombongan Program Ziarah Cakna Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang diketuai oleh YB Timbalan Menteri Pendidikan, Puan Teo Nie Ching tiba di kediaman mereka di Taman Putri, Kulai, Johor pagi tadi.

Puan Nurul yang merupakan ibu tunggal kepada lima anak, bekerja sambilan menjual pakaian atas talian turut mengucapkan terima kasih kepada KPM atas kunjungan menerusi program ini.

"Saya ucap terima kasih kepada KPM kerana ambil berat tentang kami, anak-anak saya," kata beliau.

Rombongan kemudiannya bertandang ke rumah Puan Azlina binti Ruhani, 43, ibu kepada adik Nordaniela Iris Melissa binti Muhammad Firdaus Yap (11 tahun) murid dari SJKC Kulai Besar yang menetap di Taman Putri Kulai, Johor.

Dia yang membesarkan empat orang anak sendirian selepas kematian suami akibat nahas jalan raya lima tahun lalu telah melalui kehidupan yang sukar kerana hanya menampung perbelanjaan keluarga melalui pendapatan sebanyak RM700 sebagai guru tadika.

Puan Azlina yang tidak dapat menahan sebak atas kunjungan hari ini juga melahirkan rasa syukur atas keprihatinan KPM melalui pelaksanaan Program Ziarah Cakna ini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KPM kerana prihatin terhadap keluarga saya," kata beliau.

Bagi Puan Yamunah Malayalee, 35, ibu kepada adik Hemanath Saravanan, 8, murid SJKT Ladang Kulai Besar, Johor, kehadiran KPM ternyata saat amat menggembirakan bagi dia dan keluarganya.

Dia yang membesarkan lima orang anak bersama suami, Saravanan Rengasamy, 44, yang bekerja sebagai buruh, tidak menyangka keluarganya akan dilawati oleh KPM.

Dengan pendapatan bulanan hanya sekitar RM1,000, dia dan suaminya perlu memberikan perhatian dan penjagaan rapi ke atas Hemanath yang mempunyai masalah kesihatan.

Yamunah turut memberitahu bahawa mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi membeli susu rumusan khas dan lampin pakai buang bagi Hemanath, yang merupakan anak kedua bagi mereka.

"Sebelum ini tiada siapa yang beri bantuan dan perhatian kepada kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada KPM," kata Yamunah.

Ketiga-tiga keluarga itu menerima sumbangan hamper berupa barangan keperluan harian dan wang tunai sumbangan Pejabat Pendidikan Daerah Kulai dan Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK).

Program Ziarah Cakna KPM bermula hari ini dan akan berlangsung di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

  • Hits: 98
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 17 Ogos 2019, 00:24.