Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS)

JENIS BANTUAN:

  • Bantuan Khusus

PENGENALAN :

  • Pemberian Bantuan Pakaian Seragam (BPS) kepada murid mula dilaksanakan pada tahun 2008 berdasarkan ucapan pembentangan Bajet 2008 oleh YAB Perdana Menteri pada 7 September 2007.
  • Penerima BPS adalah murid yang Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar dengan Bank Data Kemiskinan Nasional (eKASIH) dan telah dikategorikan sebagai Miskin/Miskin Tegar.

KADAR :

  • Kadar BPS adalah sebanyak RM100 bagi seorang murid.
  • Pihak sekolah adalah dilarang memberi bantuan secara tunai kepada murid.

PEMILIHAN / KRITERIA KELAYAKAN :
Kriteria kelayakan murid dalam pemberian BPS adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut :

  • Murid warganegara Malaysia yang berada di Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 (Tahun 1 bagi Kolej Vokasional) termasuk murid berkeperluan khas yang bersekolah di Sekolah Kerajaan/Sekolah Bantuan Kerajaan;
  • Murid (Ahli Isi Rumah) yang Ketua Isi Rumahnya (KIR) telah berdaftar dengan sistem eKASIH dan dikategorikan sebagai Miskin/Miskin Tegar; dan
  • Murid yang tidak dibekalkan pakaian seragam lengkap oleh badan induk Pasukan Pakaian Beruniform yang dianggotai.

KAEDAH PENYALURAN :

  • Bahagian Kewangan KPM akan menurunkan waran peruntukan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
  • JPN perlu mengagihkan waran peruntukan BPS ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)/sekolah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan waran.
  • Pengagihan peruntukan ke sekolah perlu dibuat setelah penyelarasan maklumat keperluan dibuat dengan pihak sekolah. Satu salinan surat agihan peruntukan hendaklah dihantar kepada PPD/sekolah berkenaan untuk tujuan rekod dan pemantauan.
  • Sekolah yang menerima peruntukan BPS hendaklah mengakaunkan jumlah yang diterima di bawah lajur Bantuan Persekolahan Lain (BPL) dalam Buku Tunai Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) dan menyelenggara Akaun Subsidiari BPS.
  • Bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK), PPD hendaklah mengakaunkan jumlah yang diterima di bawah lajur BPS dalam Buku Tunai Akaun Khas PPD. PPD hendaklah membuat agihan dalam bentuk baucer atau cek kepada sekolah selewat-lewatnya 14 hari dari tempoh peruntukan diterima. Ini kerana agihan perlu disegerakan bagi memastikan perolehan segera dibuat dan diberikan kepada murid yang layak bagi memastikan matlamat/objektif bantuan tersebut tercapai.
  • Hits: 1009
This website is protected by RSFirewall!, the firewall solution for Joomla!
© 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hak Cipta Terpelihara
Tarikh Kemaskini 26 Ogos 2019, 15:39.