Perkasa peranan Senat Universiti - Berita Harian, 29 Jun 2019

Pada 26 Mei lalu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia melantik pelajar sebagai ahli Senat Universiti.
Pelantikan empat pelajar, dua sebagai ahli senat dan dua lagi sebagai pemerhati - dibuat berdasarkan peruntukan Perkara 22 Statut Universiti.
Pelbagai reaksi diterima, apa pun pelantikan itu pada pandangan pentadbiran UniSZA bertujuan meningkatkan penyertaan pelajar dalam pentadbiran dan pengurusan universiti. Ia juga bertujuan memperkasa pelajar ke arah merealisasikan pendidikan holistik selaras seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Senat Universiti ialah badan berkuasa tertinggi dan bertanggungjawab ke atas arahan am di universiti. Fungsi sebenarnya membincangkan perkara dasar berkaitan universiti berasaskan tiga cabang utama iaitu akademik, penyelidikan dan pelajar.
Namun, fungsi senat sebenarnya jauh lebih besar. Apabila wujud ketiga-tiga aspek ini dalam senat baru boleh kita katakan bahawa senat berfungsi sebagai tempat yang membincangkan perkara dasar berkaitan universiti. Ia seterusnya menunjukkan senat benar-benar holistik.
Menteri Pendidikan pernah menekankan agar Senat Universiti menjadi satu badan yang bersifat holistik berperanan sebagaimana dilakukan universiti terkemuka dan negara maju di dunia. Isunya kenapa Senat Universiti pada hari ini tidak holistik, sebaliknya hanya menumpukan kepada perkara akademik.
Pada pandangan saya ia berpunca daripada peraturan dalam senat itu sendiri yang mengehadkan peranan ahlinya kepada akademik dan penyelidikan.
Ini dapat dilihat daripada peraturan berikut yang berbunyi, ‘senat adalah badan akademik bagi universiti dan berhak mengawal serta memberikan arahan am mengenai pengajaran, penyelidikan dan peperiksaan, pengurniaan ijazah, diploma, sijil dan kepujian akademik yang lain’.
Kesilapan senat yang memfokuskan kepada perkara akademik dan tidak menjadikan perkara lain seperti hal ehwal pelajar sebagai perbincangan utama, berpunca daripada peraturan dinyatakan di atas, di samping tanggapan salah bahawa kejayaan pelajar di universiti hanya berkaitan akademik.
Persoal kualiti pelajar
Perkara ini perlu diperbetulkan. Tidak hairanlah kenapa kita melahirkan pelajar lembik dan tidak kompeten. Pihak industri juga selalu mempersoal kualiti pelajar kita walaupun mereka menamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama.
Tiada yang salah dengan ijazah yang mereka peroleh. Tiada juga kesalahan di pihak pensyarah yang mengajar mereka. Yang tidak kena ialah sistem yang kita bina di universiti, antaranya kita tidak memperkasakan Senat Universiti.
Senat langsung tidak melihat bagaimana program pembinaan sahsiah pelajar dari segi kepemimpinan, kemenjadian, malah akhlak dan adab mereka sebagai pelajar. Senat juga tidak melihat penyelidikan yang menelan belanja hingga jutaan ringgit Malaysia, adakah ia sampai kepada masyarakat dan dimanfaatkan sedangkan senat adalah badan tertinggi universiti.
Selain itu, penentuan pihak yang menjadi urus setia Senat Universiti juga menjadi sebab kenapa senat tidak holistik. Contohnya apabila pengurusan tertinggi universiti menugaskan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) sebagai urus setia senat. Pihak yang sepatutnya menjadi urus setia Senat Universiti ialah pejabat pendaftar.
Kenapa begitu? Kerana senat ialah home of university matters. Antara universiti awal yang menugaskan pejabat Pendaftar sebagai sekretariat senat adalah Universiti Malaya, universiti tertua lagi tersohor di negara kita.
Bukan setakat pejabat pendaftar, bahkan semua ketua pusat tanggungjawab utama, iaitu yang membabitkan akademik, penyelidikan dan hal ehwal pelajar perlu dilantik menjadi ahli senat.
Sebagai contoh, pengarah bahagian seperti pembangunan akademik, pembangunan pelajar iaitu pusat kokurikulum, pusat penyelidikan dan sudah tentu barisan kepemimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), perlu menjadi ahli senat agar perbincangan ketiga-tiga cabang utama itu lebih dinamik, tuntas, dan komprehensif.
Inilah yang saya maksudkan Senat Universiti yang holistik.
Akhir kalam, saya ingin mencadangkan agar peranan Senat Universiti diperkasa semula. Adalah merugikan senat yang dipengerusikan Naib Canselor, dibarisi semua Timbalan Naib Canselor, dekan fakulti yang berwibawa, ketua pusat tanggungjawab dan profesor yang dipilih secara undian popular, hanya membincangkan markah peperiksaan, kursus baharu, tajuk tesis dan kalendar akademik yang sudah pun dibincangkan di bahagian pembangunan akademik yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik.
Namun, pembangunan mapan pelajar, kepemimpinan pelajar dan hasil penyelidikan yang boleh dimanfaatkan masyarakat tidak dibincang secara tuntas, bahkan mungkin langsung tidak disentuh.
Saya berharap Senat Universiti di bawah kerajaan Malaysia Baharu akan berwajah baharu, demi merealisasikan hasrat murni Menteri Pendidikan Malaysia, iaitu University for Society (U4S).
Penulis adalah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
- Hits: 4031