Kembalikan kuasa, makna sebenar kesatuan pelajar - Berita Harian, 28 Jun 2019


Namun, sebahagian kuasa akta ini diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi ketika itu. Kemudian berlaku beberapa pindaan pada 1975 (Akta A295), 1983 (Akta A550) dan 1995 (Akta A496) menjadi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1995.
Akibat pindaan itu, tercetusnya kontroversi kerana bercanggah dengan peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan melanggar hak asasi mahasiswa.
Akta Pindaan A295 pada Seksyen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C adalah bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang dan mencabuli hak keadilan mahasiswa.
Mahasiswa tidak dibenarkan sama sekali untuk menyertai mana-mana badan parti politik di Malaysia atau kesatuan sekerja dan juga penggabungan antara badan pelajar.
Selain itu, akta ini juga menjadi benteng penghalang kepada mahasiswa dan ahli akademik dalam memberi pendapat secara bebas. Ia bertentangan Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan adalah hak kepada mana-mana individu yang sah sebagai warga negara Malaysia.
AUKU 1971 juga termaktub mengenai badan kesatuan pelajar yang turut juga dikenali sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kesatuan pelajar atau student union pernah menjadi sejarah di Universiti Malaya (UM).
MPP UM memiliki bidang kuasa yang lebih luas dan mampu membuat percaturan dan melaksanakan sebarang aktiviti pelajar tanpa sekatan oleh mana-mana pihak. Namun, bidang kuasa MPP di universiti hari ini tidak memberi makna sebenar bagi kesatuan pelajar seperti yang dilaksanakan di luar negara akibat penubuhan AUKU.
Mahu kebebasan ketengah isu pelajar
MPP universiti seharusnya mempunyai hak kebebasan bersuara yang lebih luas dalam mengetengahkan isu pelajar dan bukan hanya menjadi ‘pak turut’ kepada pentadbiran, tetapi menjadi pencetus serta nadi kepada seluruh mahasiswa universiti.
Hal ini amat mengecewakan majoriti mahasiswa universiti menyebabkan tercetusnya revolusi mahasiswa di beberapa universiti awam untuk mengembalikan hak kebebasan dan keadilan mereka.
Kewujudan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (Akta 174) yang dipengerusikan oleh Khairul Najib Hashim pada 2012 menunjukkan betapa mahasiswa mengambil serius dan tegas pemansuhan Akta 174 yang menindas mahasiswa di universiti-universiti awam.
Bagaimanapun, pada 10 Disember 2018 sejarah tercipta apabila berlaku pindaan terhadap AUKU 1971 yang membenarkan mahasiswa terbabit aktiviti politik, di mana ia dipersetujui sebulat suara Dewan Rakyat.
Pemansuhan kepada Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971 sekali gus memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa universiti awam untuk bergiat dalam bidang politik di dalam kampus.
Saya kira ini satu peluang yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama oleh mahasiswa di Malaysia dalam memperjuangkan slogan kebebasan akademik, serta akan lebih terkehadapan dalam aspek kepemimpinan.
Berita gembira sekali lagi didengari mahasiswa pada 21 Jun lalu apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mengadakan mesyuarat membincangkan berkaitan kerangka dasar kebebasan akademik dan autonomi di universiti.
Antara tindakan yang akan diambil adalah mengadakan satu akta pendidikan tinggi baharu bagi memansuhkan dan menggantikan AUKU 1971, Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan akta-akta yang membabitkan institusi pendidikan tinggi yang bersifat akademik.
Ini berlaku kerana hasratnya untuk memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa universiti memandangkan golongan sasar itu sudah boleh berfikir secara matang yang disertakan dengan sikap tanggungjawab.
Beliau juga mengingatkan agar kebebasan diberikan ini tidak memecah belahkan masyarakat yang berbilang kaum dalam negara.
Kesimpulannya, segala idea dan cadangan terhadap pelaksanaan akta kepada universiti dan kolej universiti seharusnya perlu dikaji dengan lebih terperinci, supaya tidak bercanggah hak kebebasan dan keadilan untuk mahasiswa dan ahli akademik.
Kerajaan perlu bersikap lebih terbuka dan seharusnya meletakkan kepercayaan kepada mahasiswa yang sudah mampu untuk berfikir lebih matang dan bersikap profesional, terutama dalam membabitkan diri dalam bidang politik.
Penulis adalah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Hits: 4661