Universiti Malaysia Terengganu Lakar Sejarah Terbit 200 Judul E-Book

There is no translation available.

Transformasi perbukuan menerusi penerbitan digital daripada buku yang bercetak kepada buku elektronik (e-book) telah membuka lembaran dan pasaran baharu industri buku tidak hanya di Malaysia, malah lebih meluas di seluruh dunia.

Rentetan daripada itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengambil inisiatif menghasilkan 200 judul e-book melibatkan penerbitan ilmiah dan korporat dalam pelbagai bidang. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia di Putrajaya, semalam.

“Saya menyarankan semua penerbit universiti untuk lebih aktif menerbitkan judul-judul baharu yang lebih bersifat universal atau umum. Genre tersebut bakal menambahkan lagi khalayak pembaca merangkumi pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat,” kata YB Dr. Maszlee Malik dalam ucapan beliau.

Beliau turut menyatakan hasrat supaya para penerbit di universiti mengadakan jalinan kerjasama dengan Institut Terjemahan Buku Negara (ITBN) dalam menterjemahkan e-book dan bahan berkaitan di pelbagai bahasa untuk rujukan para akedemik dan masyarakat di seluruh dunia.

Kesemua 200 judul e-book ini dapat diakses menerusi langganan di pautan overdrive.com dan aplikasi PubU di peranti mudah alih dengan kerjasama bersama Celex Media Sdn Bhd. Antara judul e-book tersebut adalah Corporate Board Composition, Expertise and Earning Quality, Islam dan Ekonomi serta Media di Era Konvergens.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh YB Puan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia; YBhg. Datin Paduka Ir. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT serta penerbit-penerbit universiti.

 
 
(UKK 19 Jun 2019)
  • Hits: 3755

Follow us on the official social media:

© 2019 Ministry of Education Malaysia (MOE). All right reserved
Last Modified Wednesday 27 September 2023, 14:39:40.