Sesi Libat Urus Bersama Kesatuan-Kesatuan Guru Berhubung Pelaksanaan Agenda Peningkatan Kualiti Pendidikan Bahasa Inggeris

There is no translation available.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan sesi libat urus bersama tiga kesatuan sekerja dalam perkhidmatan perguruan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak berhubung agenda peningkatan kualiti pendidikan bahasa Inggeris.

Sesi libat urus yang dihadiri oleh lebih 20 pemimpin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) telah berlangsung di KPM, Putrajaya hari ini.

Sesi libat urus yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia telah menyentuh pelbagai aspek berkaitan dengan usaha KPM merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap (2015-2025), yang merupakan satu pelan hala tuju pendidikan bahasa Inggeris. Turut hadir YBrs Dr Habibah Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan); YBrs Prof Zuraidah Mohd Don, Pengerusi Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris dan YBrs Farah Mardhy Aman, Pengarah Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC).

Sesi ini diadakan bagi mendengar suara yang dikemukakan oleh guru-guru menerusi kesatuan masing-masing. Selain menjelaskan rasional pelaksanaan inisiatif English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap (2015-2025), KPM juga telah menerima banyak pandangan dan input yang bernas daripada kesatuan-kesatuan sekerja yang hadir pada pertemuan hari ini.

KPM mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang telah dizahirkan oleh NUTP, STU dan KGKS. Sesi pertemuan yang seterusnya akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi satu perbincangan yang lebih menyeluruh.

 
 
 
 
(UKK 28 Mei 2019)
  • Hits: 2205

Follow us on the official social media:

© 2019 Ministry of Education Malaysia (MOE). All right reserved
Last Modified Monday 02 August 2021, 16:21:26.
moe