KPM Dan Jabatan Muzium Bangunkan Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium

There is no translation available.

 

Bertempat di Auditorioum Muzium Negara, Kuala Lumpur hari ini, Majlis Pelancaran Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) telah diadakan. Ia disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching. Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Tuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Dalam ucapannya, YB Puan Teo berkata, Program IPIM dapat menzahirkan aspirasi murid seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Program ini menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

"Penglibatan murid dan guru dalam program ini dapat meningkatkan minat mereka, khususnya kepada mata pelajaran Sejarah kerana PdP lebih menarik melalui pengalaman secara langsung dan cuba buat terhadap bahan sejarah melalui koleksi yang nyata dan sahih," tambah beliau.

Beliau turut berkata bagi Pelaksanaan IPIM Jabatan Muzium Malaysia (JMM) turut menghasilkan satu modul pemuziuman yang akan menerapkan kaedah pendidikan secara didik hibur yang secara tidak langsung dapat memberikan kelainan untuk memupuk minat murid terhadap sejarah negara.

"Modul yang disediakan ini boleh dijadikan panduan kepada semua institusi muzium bagi melaksanakan aktiviti bersama-sama murid dan guru," kata beliau lagi.

Sementara itu, YB Tuan Muhammad Bakhtiar dalam ucapannya memberitahu IPIM telah dibangunkan dan dirintis sejak tahun 2014 dengan kerjasama JMM, muzium-muzium negeri, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Saya menyokong usaha memperkasakan pendidikan negara khususnya di samping menyebarluaskan warisan bangsa dan khazanah negara terutamanya sejarah, budaya dan alam semula jadi negara agar dapat mencetuskan persefahaman, toleransi, hormat-menghormati seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan bersatu padu dalam melestarikan aspirasi negara," kata beliau.

Pada majlis yang sama kedua-dua Timbalan Menteri telah sudi melaksanakan penyampaian Nota Kerjasama KPM-JMM serta menyerahkan modul IPIM kepada wakil JPN, IPGM dan Muzium Negeri.

  • Hits: 2370

Follow us on the official social media:

© 2019 Ministry of Education Malaysia (MOE). All right reserved
Last Modified Wednesday 04 August 2021, 18:01:03.
moe