• Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal

    Pengenalan, Syarat Penyertaan, Peraturan dan Tatacara Permohonan, Kriteria Penilaian, Nilai Hadiah, Muat Turun

Pengenalan

  • Anugerah Khas bagi kategori teknikal diwujudkan bagi mengiktiraf ahli akademik dalam bidang teknikal di Politeknik, Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional yang berkemampuan dan berkaliber dalam memartabatkan bahasa Melayu di bidang Latihan Teknik dan Vokasional (TVET).

Syarat Penyertaan

  • 1. Warganegara Malaysia ;
  • 2. Berkhidmat di politeknik/ kolej komuniti/ kolej vokasional/ Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) atau Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) selama sekurang-kurangnya (15) tahun secara kumulatif dalam Sektor Teknikal;
  • 3. Setiap Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Vokasional, JPPKK serta BPLTV layak mencalonkan SATU (1) orang sahaja ;
  • 4. Individu yang aktif menyumbang bakti kepada perkembangan Politeknik, Kolej Komuniti atau Kolej Vokasional Malaysia ;
  • 5. Mempunyai personaliti unggul dalam ketokohan yang dicalonkan ; dan
  • 6. Memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan

Peraturan dan Tatacara Permohonan

  • 1. Pemohon hendaklah mendaftarkan pencalonan menggunakan borang permohonan terkini yang boleh dicapai melalui http://www.moe.gov.my/atabm. Setiap pencalonan hendaklah disertakan dengan butiran seperti dalam Borang ATABM-ST yang disediakan dan permohonan yang tidak menggunakan borang yang disediakan tidak akan dinilai
  • 2. Setiap pencalonan hendaklah disertakan dengan butiran diri seperti borang yang disediakan. Borang permohonan mestilah diisi dengan lengkap mengikut format yang ditetapkan dan disertakan dengan dokumen sokongan serta bukti yang sah. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan dipertimbangkan.
  • 3. Permohonan hendaklah diperakukan oleh Pengarah Bahagian JPPKK, atau Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti masing-masing, Pengarah Kolej Vokasional atau Ketua Pengarah Jabatan atau wakil yang menjalankan tugasnya atau pemangkunya. Sekiranya borang permohonan ditandatangani oleh Pengarah Bahagian JPPKK, atau Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti masing-masing, Pengarah Kolej Vokasional atau Ketua Pengarah Jabatan surat penurunan kuasa daripada Pengarah Bahagian JPPKK, atau Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti masing-masing, Pengarah Kolej Vokasional atau Ketua Pengarah Jabatan perlu disertakan.
  • 4. Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan tidak boleh memohon. Sekiranya ada yang ingin memohon, maka beliau hendaklah melepaskan keahlian dalam jawatankuasa.
  • 5. Sekiranya terdapat sebarang maklumat palsu dan tidak tepat, Kementerian Pendidikan Malaysia berhak untuk menarik balik anugerah.
  • 6. Permohonan dalam satu bentuk salinan keras dan satu bentuk salinan lembut (lengkap bersama dokumen bukti) hendaklah dihantar kepada Urus Setia ATBMST, KPM sebelum atau pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Permohonan hendaklah dihantar ke alamat berikut :
  • Pengarah
    Bahagian Kurikulum
    Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti
    Kementerian Pendidikan Malaysia
    Aras 4 Galeria Pjh, Jalan P4w
    Persiaran Perdana, Presint 4
    62100 Wilayah Persekutuan Putrajaya
    (u.p.: Urus Setia Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal)

Kriteria Penilaian

  • Penilaian dilaksanakan dengan mengutamakan prestasi TIGA (3) tahun mutakhir berdasarkan kepada kriteria berikut :
  • 25% | Pengajaran dan Pembelajaran

    Pengajaran dalam disiplin ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu di peringkat pengajian sarjana muda, diploma dan sijil.

  • 12% | Inovasi

    Dokumen/Panduan modul inovasi dalam bahasa Melayu adalah hasil kreativiti dan inovasi yang berdampak tinggi sama ada dalam bentuk inovasi organisasi, inovasi pemasaran, inovasi produk atau inovasi proses.

  • 10% | Penerbitan dan Pembentangan Kertas Kerja

    Penerbitan dalam bentuk bahan-bahan berwasit dan pembentangan kertas kerja yang berdampak tinggi dalam bahasa Melayu.

    • buku atau e-buku (sebagai penulis utama) ;
    • buku atau e-buku (sebagai penyunting) ;
    • bab dalam buku atau e-buku (sebagai penulis utama) ;
    • makalah jurnal (sebagai penulis utama) ;
    • laporan teknikal (berasaskan penyelidikan atau perundingan) ;
    • karya terjemahan dalam bahasa Melayu ;
    • penerbitan-penerbitan lain (majalah, akhbar, buletin dan media lain) ; dan
    • pembentangan dan kertas kerja.
  • 10% | Penyeliaan

    Penyeliaan laporan projek akhir atau laporan latihan industri dalam bahasa Melayu (sebagai penyelia utama) bagi pelajar pada peringkat pengajian, sarjana muda, diploma dan sijil.

  • 10% | Penghasilan Modul PdP

    Penghasilan Modul PdP bidang teknikal dan vokasional dalam bahasa Melayu yang diperakukan oleh ketua jabatan/ ketua bahagian institusi masing-masing.

  • 10% | Khidmat Perundingan

    Khidmat perundingan dalam bahasa Melayu yang disumbangkan kepada mana-mana pihak yang membawa dampak kepada organisasi.

  • 10% | Khidmat Ikhtisas dan Khidmat Masyarakat

    Khidmat ikhtisas yang berdasarkan bidang kepakaran dan khidmat masyarakat di luar bidang tugas.

  • 6% | Pengiktirafan dan Sanjungan

    Anugerah dan sanjungan berasaskan sumbangan dalam memartabatkan bahasa Melayu yang diterima pada peringkat institusi, kebangsaan atau antarabangsa, termasuk penyampai ucaptama, penceramah undangan, panel pakar rujuk, lembaga pengarang jurnal, projek akhir, penilai program akademik, penilai kenaikan pangkat,  penilai sekepakaran dan penampilan dalam media.

  • 5% | Jawatan Pentadbiran

    Jawatan pentadbiran yang disandang pada peringkat institusi seperti Ketua Jabatan, Timbalan Pengarah, Pengarah, dan lain-lain.

  • 2% | Pencapaian Cemerlang

    Perkhidmatan cemerlang yang dianugerahkan secara tahunan (APC/ PPC) oleh organisasi (Jabatan/ Bahagian).

Pengabsahan

  • Melaksanakan pengabsahan melalui temu bual bagi tujuan pemilihan tokoh. Sekiranya prestasi calon semasa temu bual tidak sejajar dengan markah penilaian bertulis, maka calon kedua tertinggi boleh dipertimbangkan untuk pengabsahan.

Nilai Hadiah

  • 1. Sijil Penghargaan.
  • 2. Piala Iringan.
  • 3. Wang Tunai.

Muat Turun

Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu

Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar
Kementerian Pendidikan Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2017 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)