Memartabatkan Bahasa Melayu, Memantapkan Bahasa Inggeris: Tawaran Baru Sistem Pendidikan Malaysia

Memartabatkan Bahasa Melayu, Memantapkan Bahasa Inggeris: Tawaran Baru Sistem Pendidikan Malaysia

KENYATAAN AKHBAR 
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU, 
MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS: 
TAWARAN BARU SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA

8 JULAI 2009

Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.  Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada tahun 2003. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran ingin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia.  Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing. Keputusan Kabinet untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan mula berkuatkuasa pada tahun 2012. Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula pada tahun 2012. Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.  Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014. Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan. Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 mendapati :

Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007. Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil SJK(T). Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. 

Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Penekanan terhadap aspek Kesusasteraan Melayu bertujuan untuk memperkayakan aspek kebahasaan di samping menonjolkan aspek pemikiran, nilai, budaya masyarakat Malaysia. Dengan keputusan ini, kerajaan menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Kerajaan percaya bahawa dengan pendekatan baru ini kita akan dapat memartabatkan Bahasa Malaysia, memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dan meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai ilmu sains dan teknologi yang amat penting untuk masa depan negara.

Sila muat turun fail Powerpoint di bawah.

Bil Tajuk  
1 MBMMBI   pdf Muat Turun (7.59 MB)