Atas
Media

Teks Ucapan

 

Teks Ucapan HARI GURU 2010 oleh Y.BHG. TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD DOM KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

18 May 2010

TEKS UCAPAN HARI GURU 2010
 
Y.BHG. TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
 
Sempena:
Majlis pelancaran sambutan hari guru 2010
 
Tempat:
Universiti Malaysia Pahang
 
Pada:
16 Mei 2010
 
Jam:
9.30 pagi
 
 “GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”
 
 
 
 
 
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia;
 
Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyidin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Merangkap Menteri Pelajaran Malaysia;
 
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Adnan Yaakop, Menteri Besar Negeri Pahang Darul Makmur;
 
Yang Berhormat Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong,
Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;
 
Yang Berhormat Dr. Mohd Puad Bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;
 
Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia
 
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
 
 
Yang Berbahagia Dato’ Abdul Aziz bin Abdul Latif, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Selaku tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru tahun ini;
 
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia
 
Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri
 
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
 
 
1.            Alhamdullilah, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat ALLAH S.W.T. kerana dengan taufik dan hidayahNya jua, sekali lagi pada tahun 2010 ini kita dapat menyambut perayaan Hari Guru pada tanggal 16 Mei, buat kali ke 39.
2.            Terlebih dahulu izinkan saya mewakili warga pendidik, merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, yang telah sekali lagi sudi hadir dan seterusnya melancarkan sambutan perayaan Hari Guru pada tahun ini.
 
3.            Pada kesempatan ini kami warga pendidik mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri yang menyambut hari lahirnya kelmarin.
 
4.            Saya juga mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Negeri Pahang, atas kesudian menerima kami warga pendidik untuk menyambut Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun 2010 ini di Negeri Pahang Darul Makmur. Ucapan ribuan terima kasih saya rakamkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri dan kerajaan negeri Pahang, yang telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan untuk menjayakan Majlis Sambutan Hari Guru Kali Ke-39. Ucapan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri kerana telah bermurah hati menaja Majlis Makan Malam bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah pada malam kelmarin.
 
YB Tan Sri, Dato/Datin/Tuan/Puan yang dihormati,
 
5.            Sesungguhnya, hari ini amat istimewa dan bermakna kerana hari ini diraikan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan besar dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para pendidik di seluruh tanahair kerana berjaya menggalas tanggungjawab berat demi memenuhi hasrat negara bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang bersatu, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global.
 
6.            Justeru, Tema Hari Guru tahun lepas iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” sekali lagi dipilih kerana ianya amat bertepatan sekali dengan peranan guru memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat selaras dengan gagasan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” seperti yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hakikatnya, pendidikan ialah pemangkin kepada pembinaan Negara Bangsa terutama bagi menyemai semangat kenegaraan pada peringkat awal perkembangan murid dan diteruskan pada peringkat pendidikan yang lebih tinggi. Usaha yang gigih dan kerjasama yang erat daripada semua pihak khususnya dalam kalangan warga pendidik amat diperlukan bagi memastikan identiti nasional yang dihasratkan tercapai, iaitu melahirkan murid yang memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu.
 
YAB Tan Sri, Dato’/Datin,Tuan/Puan sekalian, 
 
7.            Kita telah sedia maklum, beberapa dasar telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, termasuk dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBM MBI), mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah melalui Satu Pelajar Satu Sukan dan memperkasa pendidikan prasekolah merupakan komponen penting transformasi dan pembaharuan yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita, yang mana natijah akhirnya ialah berlakunya peningkatan pada kualiti pendidikan.
 
8.            Di samping itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah pun menjadikan perluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang berdaya maju dan mampu memacu ekonomi berpendapatan tinggi. Pengenalan NKRA pendidikan merupakan sebahagian daripada proses transformasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan kita yang akan melonjakkan lagi kecemerlangan pendidikan di negara ini. Malah kita boleh berbangga apabila UNESCO dalam Education For All Global Monitoring Report 2009 meletakkan pendidikan Malaysia di kedudukan yang baik dalam aspek menyediakan akses pendidikan kepada semua rakyat.
 
9.            Justeru, saya menyeru para pendidik menggembeling tenaga dan usaha untuk terus mengamalkan budaya kerja cemerlang, bertanggungjawab dan menerapkan semangat mujahadah bagi melakukan yang terbaik demi anak-anak bangsa kita. Para pendidik hendaklah sentiasa bersedia untuk berubah dari satu tahap amalan kerja yang biasa ke suatu tahap yang berprestasi tinggi. Mereka perlu menggalas tugas besar untuk menjayakan transformasi dan pembaharuan pendidikan dengan satu hasrat dan satu tekad bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara. Ini adalah satu amanah besar yang terletak di bahu kita semua. Di samping itu, seluruh warga pendidik perlu saling bantu membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mulia ini, dengan hasrat untuk menghasilkan kejayaan secara kolektif. Bak kata pepatah Melayu, “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”.
 
YAB Tan Sri, Dato’/Datin,Tuan/Puan sekalian, 
 
10.        Bersesuaian dengan gagasan 1 Malaysia yang mengutamakan pencapaian, Kementerian Pelajaran telah mengumumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi. Sekolah-sekolah ini merupakan sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Di samping itu, sekolah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dalam menghasilkan modal insan cemerlang yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa. Sasaran utama Kementerian adalah untuk meletakkan semua Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sebagai penanda aras dalam soal kecemerlangan pendidikan, untuk dicontohi dan diteladani oleh semua sekolah di negara ini.
 
11.          Di samping itu, selaras dengan usaha mempromosikan budaya kerja yang tinggi, pihak kementerian akan memperkenalkan insensif kepada Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah yang cemerlang berasaskan performance-based assesment. Sehubungan itu, saya berharap ini dapat memberi motivasi kepada semua para pemimpin sekolah dan warga pendidik bagi meningkatkan prestasi dengan bersikap dinamik, bersemangat ketika menjalankan tugas, berdisplin, mahir dalam mata pelajaran dan sentiasa mampu menghasilkan keputusan yang baik kepada sekolah masing-masing.
 
12.          Kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabat profesionalisme keguruan, agendanya bukan hanya sekadar penambahbaikan skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata, malah turut bergantung kepada  tahap  kualiti, kompetensi, jati diri, dan semangat para guru. Faktor-faktor ini banyak mempengaruhi persepsi dan pemerimaan masyarakat terhadap profesion ini yang akhirnya, akan menentukan sejauh mana profesion keguruan akan terus dihormati dan dipandang tinggi.
 
13.          Sekali lagi saya bagi pihak majlis ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia yang kita kasihi yang telah sudi hadir bersama-sama kita bagi menjayakan sambutan Hari Guru 2010 pada pagi ini.
 
14.          Akhir kata, saya ingin menyeru semua warga guru supaya berusaha menjadi lebih kreatif, inovatif, proaktif dan mampu mencipta kelainan yang boleh memberi manfaat kepada murid-murid. Sesungguhnya, mendidik adalah tugas yang amat mulia dan tiada ternilai harganya. Jalankanlah tugas dengan lebih gigih, jujur dan terus bekerja sebagai satu pasukan. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Ingatlah, agenda mendidik dan membina negara bangsa adalah tanggungjawab yang amat penting untuk masa depan negara. Terjemahkanlah tanggungjawab dan peranan ini dalam bentuk pelaksanaan tugas yang berkualiti dan khidmat yang terbaik kepada rakyat.
 
15.          Sama-samalah kita memanjatkan doa kehadrat Illahi semoga kita diberikan kekuatan untuk terus melaksanakan tugas mulia ini. Harapan saya ialah semoga tuan-tuan dan puan-puan akan terus maju dan berjaya dalam profesion yang mulia ini.
 
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua warga pendidik dimana saja anda berada, “Selamat Hari Guru”, Terima Kasih Cikgu.
 
Putik baru mekar di laman,
Kembang kudup kumbang terpikat,
Hargai guru sepanjang zaman,
Agar hidup beroleh berkat.
 
Istana kota sebelas langkat,
Tempat baharu Nakhoda Pekan;
Sama kata sama sepakat,
Hari guru marilah raikan.

Sekian, Wabillahi Taufik Wal-hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Universiti Malaysia Pahang
16 Mei 2010
 


 

Diterbitkan oleh Unit Komunikasi Korporat









Bawah