Atas
Hubungi Kami

|| Home » Hubungi Kami » Sektor Pelajaran » Profil Jabatan
Jabatan Pendidikan WP Labuan

Profil Jabatan
JabatanJabatan Pendidikan WP Labuan
Ketua JabatanPengarah
Puan Mistirine binti Radin
AlamatARAS 10, BLOK 4,
KOMPLEKS UJANA KEWANGAN,
PETI SURAT 81097,
87020 WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN.
Nombor Telefon087-583351 / 583351 / 583357
Nombor Faks087-583352
Laman Webhttp://www.jpwpl.gov.my
Alamat E-melwebmaster.labuan@wpl.moe.gov.my

LATAR BELAKANG SEJARAH PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Selaras dengan perkembangan politik dan ekonomi di Labuan, bidang pendidikan juga tidak ketinggalan. Bagi menyediakan kemudahan pendidikan peringkat rendah dan menengah beberapa buah sekolah telah didirikan di peringkat awal.

Sekolah rendah yang pertama didirikan ialah Sek. Keb. Pekan Labuan yang dibina pada tahun 1907 bertempat di Kawasan Kedai Pustaka Melayu sekarang. Sekolah ini kemudiannya dipindahkan ke lokasi baru di Jalan Tun Mustapha pad a tahun 1952 dan kekal hingga sekarang. Guru besarnya yang pertama ialah Allahyarham En. Zainal b. Ahmad.

Pada tahun 1924 pula Sekolah Melayu Bukit Kalam telah dibina dengan guru besarnya yang pertama ialah En. Mohd Salleh b. Pir Mohamad. Pada awal penubuhannya sekolah ini hanya mempunyai 30 orang murid dan 5 orang guru. Seterusnya diikuti dengan SK. Kerupang yang dibina pada 1931. Sekolah-sekolah rendah kebangsaan yang lain kebanyakkannya dibina dalam era60-an.

Di samping sekolah aliran Melayu, sekolah aliran China juga tidak dilupakan. SRJK (C) Chi Wen telah dibina pada 1912 bertempat di kawasan Hujung Pasir dengan 2 buah bilik darjah sahaja. Guru besar pertamanya ialah En. Lee See Chung. Selepas Perang Dunia Kedua sekolah ini berpindah ke lokasinya yang ada sekarang di Jalan Tun Mustapha. SJK Chung Hwa pula telah dibuka pad a tahun 1924 yang hanya mempunyai seramai 20 orang murid.

Sebuah sekolah menengah telah dibina pada tahun 1921 dipinggir bandar Labuan, dikenali sebagai Government English School. Sir Ian Valentine merupakan pengetua pertama sekolah tersebut. Mulai tahun 1970 Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa pengantar, seterusnya nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan.

Selain sekolah-sekolah Melayu, sekolah-sekolah Mission juga telah diusahakan oleh para mubaligh Kristian. Antaranya sekolah St. Anne Convent didirikan pada tahun 1931 oleh F. Stotter. Pada tahun 1946 Sekolah St. Anthony telah dibuka atas daya usaha Fr. De Witt dan telah dinaiktaraf sebagai sekolah menengah pada tahun 1959 dengan pelajar tingkatan satu seramai 105 orang.

Pejabat Pendidikan Bahagian W. P. Labuan telah mula diwujudkan sejak tahun 1965, dan berpejabat di Pejabat Daerah Labuan dengan dikenali sebagai Pejabat Pendidikan Daerah Labuan. Pada tahun tersebut, kakitangan yang ada hanyalah seorang Penyelia iaitu En. Ajamain b. Hj. Ghafar dengan dibantu oleh seorang kerani.

Sejak penubuhannya hingga sekarang, Pejabat Pendidikan W. P. Labuan telah beberapa kali berpindah tempat. Di antara tempat-tempat tersebut, selain Pejabat Daerah ialah di bangunan USNO, Rumah Persendirian Tanjung Batu, SMK Labuan, MPL Warehouse Saguking, pejabat di Bukit Kalam dan di pejabat yang ada sekarang ialah di Ujana Kewangan.

Dari aspek pentadbiran pendidikan, Labuan pada mulanya digabungkan dengan Bahagian Keningau. kemudiannya dengan Pantai Barat Selatan dan seterusnya dengan bahagian Beaufort. Pada tahun 1996 Pejabat Pendidikan Daerah Labuan telah dinaik taraf menjadi Pejabat Pendidikan Bahagian Labuan dengan Pegawai Pendidikan Bahagian W. P. Labuan yang pertama ialah Tn. Hj. Zainal b. Hj.lbrahim dan diikuti oleh En. Ag. Damit b. Suran.

Pendidikan di Labuan terus mengukir sejarah apabila mulai 1 Disember 2000 telah menjadi sebuah Jabatan Pendidikan W. P. Labuan dengan Pengarah Pendidikan yang pertama ialah Tn. Hj. Rokhani b. Mangi. Sehingga kini W. P. Labuan telah mempunyai 17 buah sekolah rendah dan 9 buah sekolah menengah termasuk sebuah sekolah berasrama penuh dan sebuah sekolah menengah teknik. W. P. Labuan juga mempunyai sebuah universiti iaitu Universiti Malaysia Cawangan Sabah dan sebuah pusat Matrikulasi.



VISI

Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang



MISI

Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti



LOGO JABATAN

A. BENTUK
Bentuk bulat berwarna merah, putih dan biru melambangkan globalisasi dan dunia pendidikan tanpa sempadan.

Bentuk buku melambangkan perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara - Perkembangan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

Peta w.P. Labuan berwarna putih melambangkan keikhlasan, kesungguhan dan hasrat murni Jabatan Pendidikan W.P. Labuan untuk menjana kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia.

B. WARNA
MERAH - Merah lambang keberanian, ketegasan dan kecekalan dalam menghadapi segala cabaran dan persaingan global.
KUNING - Kuning lambang negara Malaysia dan Kedaulatan Perlembagaan dan Rajanya.
BIRU - Biru lambang keteguhan perpaduan, dinamik dan progresif.
PUTIH - Putih lambang keikhlasan, kesungguhan dan hasrat murni Jabatan Pendidikan w.P. Labuan.

C. MOTO
MENJANA KECEMERLANGAN
Satu usaha yang berterusan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan kearah mencapai kecemerlangan dan tahap kualiti dalam semua aspek pendidikan untuk melahirkan generasi pelajar yang berperibadi dan berakhlak mulia. berilmu pengetahuan, berkemahiran dan berbudaya saing menepati matlamat Falsafah Pendidikan Negara dan Wawasan Negara.



OBJEKTIF
  • Menjana dan merealisasikan pembangunan modal insan berkualiti.
  • Memastikan dasar pendidikan dari kurikulum kebangsaan dilaksanakan dan dihayati secara komprehensif.
  • Melaksanakan pendemokrasian pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.
  • Menyediakan ruang dan peluang meningkatkan potensi murid.
  • Menyediakan dan melaksanakan sistem pengurusan perkhidmatan pelajaran yang efisien dan efektif.
  • Memantapkan profesionalisme guru besar dan pengetua dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah rendah dan menengah.


PIAGAM PELANGGAN
  1. Memastikan semua surat diterima siap diproses sehari sebelum tempoh yang telah ditetapkan.
  2. Memproses pembayaran dalam tempoh 14 hari dari tarikh dokumen lengkap diperolehi.
  3. Memastikan pegawai mengikuti kursus sekurang-kurangnya 7 hari dalam tempoh satu tahun
  4. Memastikan laporan pemantauan dan penyeliaan diserahkan ke sekolah dalam tempoh 2 minggu hari bekerja dari tarikh pemantauan dilaksanakan.
  5. Memastikan semua calon sekolah didaftarkan untuk menduduki peperiksaan awam.
  6. Surat penempatan murid tahun 1 dan prasekolah diluluskan dalam masa 90 hari dari tarikh surat diterima.
  7. Permohonan penempatan dan pertukaran murid yang memenuhi syarat diproses dalam masa 3 hari bekerja.
  8. Permohonan pertukaran guru yang memenuhi syarat diluluskan dalam masa 30 hari bekerja.
  9. Proses penempatan guru diuruskan dalam tempoh 21 hari bekerja.
  10. Memastikan sekolah menerima bekalan buku teks SPBT yang dipesan mengikut tempoh pembekalan yang ditetapkan.
  11. Memastikan bantuan (KWAPM) disalurkan ke sekolah dalam tempoh 14 hari selepas peruntukan diterima dari Bahagian Kewangan (Cawangan Bantuan) KPM.
  12. Memastikan semua sekolah rendah yang terlibat melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada hari pertama persekolahan kepada murid yang layak menerima RMT.
  13. Memastikan warga sekolah menerima khidmat bantu dan bimbingan kepimpinan bagi menepati pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan secara sistematik di sepanjang tahun.
  14. Memastikan warga sekolah menerima khidmat bantu serta latihan penyelidikan dan kajian tindakan bagi mencetuskan inovasi & kreativiti pendidikan secara sistematik di sepanjang tahun.
  15. Memastikan Guru Cemerlang menerima khidmat bantu mengekalkan dan meningkatkan kualiti profesionalisme berlandaskan standard yang telah ditetapkan di sepanjang tahun.
  16. Pelanggan mendapat perkhidmatan psikologi dan kaunseling dalam tempoh sehari selepas mengemukakan permohonan atau selepas dirujuk.
  17. Tempoh masa setiap sesi kaunseling adalah antara 45 minit hingga 60 minit.
  18. Menentukan kerahsiaan dan perkhidmatan psikologi dan kaunseling sentiasa diutamakan, selagi mana ia tidak mendatang kemudharatan kepada klien dan pihak lain.
  19. Memastikan kutipan perdana data EMIS adalah kemaskini dan tepat pada akhir bulan Januari, Jun dan Oktober.
  20. Memastikan setiap aduan kerosakan peralatan dan rangkaian ICT akan diberi maklumbalas dalam tempoh 24 jam waktu bekerja.










Bawah