|
Gombak: “Berdasarkan program kecemerlangan yang dijalankan, mana-mana sekolah sama sahaja. Cuma yang membezakan keupayaan setiap pelajar adalah penghayatan mereka,” kata Pengetua Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya, Rashidah Md Arif. Beliau menyifatkan setiap pelajar perlu dipupuk supaya sentiasa ‘berlumba-lumba’ mempamerkan keupayaan bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi turut aktif dalam kokurikulum.
“Tahun lalu, SSP berjaya memenangi pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri selain johan dalam kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Zon Tengah kategori perempuan. “Pelajar membuktikan walaupun aktif dalam kokurikulum, namun tidak pernah sekali membantutkan tumpuan mereka dalam akademik. Sejak awal tahun, guru sentiasa ‘mencabar’ pelajar supaya menandingi pencapaian senior mereka pada peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sebelumnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2012 di SBP Integrasi Gombak, di sini, semalam. Anugerah berkenaan disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada 38 sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) berdasarkan empat kategori.
Pada majlis itu, SSP dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SMSTM), Seremban mengungguli anugerah dalam dua kategori iaitu sekolah cemerlang yang mencapai gred purata sekolah (GPS) kurang 1.50 mata dan sekolah cemerlang yang berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya tiga peratus calon mencapai gred A+ dalam semua mata pelajaran. Pengetua SMSTM Sabuddin Sani berkata, sejak dua tahun lalu, beliau menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kejayaan pelajar hanya bagi mereka yang memperoleh 6A ke atas. “Kejayaan akademik sudah menjadi ‘budaya’ buat pelajarnya. SMSTM sangat bertuah kerana guru, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan masyarakat sentiasa bekerjasama meningkatkan tahap pencapaian sekolah ini,” katanya. “Ramai juga di kalangan ibu bapa pelajar sekolah ini di kalangan profesional jadi kehebatan mereka ini mampu memberi inspirasi dan dorongan buat pelajar,” katanya. Sementara itu, Muhyiddin berkata, tahun ini, Kementerian Pelajaran buat pertama kali mengiktiraf PPD yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam kriteria yang ditetapkan.
“Ini hasrat Kementerian untuk meningkatkan peranan PPD sebagaimana terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM),” katanya.
Sumber : Harian Metro |